PM Itali gesa Israel jangan ganggu usaha damai AS-Iran

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni (tengah) bertemu dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi di Sidang Kemuncak G7 di sini./ Foto AFP

EVIAN, 18 Jun – Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menggesa Israel tidak menggugat usaha diplomatik untuk menamatkan perang di Asia Barat susulan persetujuan rangka perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Matlamat mesti galakkan penyelesaian berkekalan dan berstruktur, bukan hanya gencatan senjata jangka pendek.
  • Perkembangan politik dalaman Israel tidak sepatutnya menjejaskan laluan diplomatik yang dirintis Tehran dan Washington.
  • Itamar Ben Gvir mengecam perjanjian AS-Iran dan menegaskan Israel tidak terikat dengan rundingan itu.
  • Itali buka semula kedutaan di Tehran; Tajani kata pemantauan berhati hati perlu walaupun sinar keamanan mula muncul.

Meloni menegaskan perkara itu pada hari terakhir sidang kemuncak negara Kumpulan Tujuh (G7) di Perancis semalam, ketika tumpuan pemimpin dunia terarah kepada usaha menamatkan perang di rantau berkenaan.

“Matlamat kita mestilah untuk menggalakkan penyelesaian yang berkekalan dan berstruktur, yang melangkaui pendekatan gencatan senjata jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata perkembangan politik dalaman Israel tidak seharusnya menjejaskan laluan diplomatik yang sedang dirintis Tehran dan Washington.

“Kami berharap Israel kini memainkan peranan positif dalam proses damai. Pada masa sama, perdebatan dalaman yang tidak dapat dielakkan, termasuk yang dipengaruhi kempen pilihan raya, diharap tidak menjejaskan laluan sukar yang sudah dimulakan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Keselamatan negara haram Israel, Itamar Ben Gvir, pada Isnin mengecam perjanjian antara AS dan Iran, selain menegaskan Israel tidak terikat dengan perjanjian berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Luar Itali, Antonio Tajani memaklumkan, Kedutaan Itali di Tehran akan dibuka semula pada Jumaat selepas ditutup lebih tiga bulan akibat perang di Asia Barat.

“Duta Itali serta semua diplomat dan pegawai Kementerian Luar akan kembali semula ke ibu negara Iran,” katanya kepada Parlimen Itali.

Beliau bagaimanapun menegaskan, perkembangan terbaharu itu masih perlu dipantau dengan berhati-hati berikutan kedudukan Asia Barat sebagai rantau yang kompleks.

“Sikap berhati-hati amat penting. Namun, buat pertama kali selepas berminggu-minggu perang dan rundingan yang terumbang-ambing, satu sinar keamanan yang nyata mula muncul,” katanya.

Itali sebelum ini menutup sementara kedutaan berkenaan dan memindahkan kakitangannya ke Azerbaijan selepas AS dan sekutunya Israel memulakan perang dengan serangan udara ke atas Iran.

AS dan Iran sebelum ini bersetuju dengan rangka perjanjian untuk menamatkan perang di Asia Barat yang dijadualkan ditandatangani secara rasmi pada Jumaat ini di Switzerland. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.