
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir – Foto Viory
KAZAN, 18 Jun – Krisis bekalan global yang berlaku ketika ini membuka peluang kepada ASEAN untuk memperkukuh kerjasama sedia ada serta memperluas rangkaian baharu di peringkat antarabangsa.
- Perlu pelbagaikan rantaian bekalan dan cari peluang global untuk memastikan kelangsungan rantaian serantau.
- Krisis bahan api membuka ruang jalin kerjasama baharu serta memperoleh peluang ekonomi tambahan.
- Perkukuh hubungan Kuala Lumpur dan Moscow, manfaatkan hubungan sejak 1967 untuk teroka potensi baharu dalam sektor strategik.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pendekatan itu penting bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan serantau terus terjamin, terutama ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia.
“Sudah tentu bagi negara-negara ASEAN, kita perlu mempelbagaikan rantaian bekalan kita. Kita juga perlu mencari peluang di seluruh dunia.
“Cabaran krisis bahan api global ini turut membuka peluang kepada kita untuk menjalin kerjasama baharu, sekali gus memperoleh lebih banyak peluang lain,” katanya.
Beliau ditemu bual Viory pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini pada Rabu.
Jelas Akmal lagi, kerjasama Kuala Lumpur-Moscow membuktikan komitmen berterusan negara dalam mencari peluang lebih baik, khususnya dalam memperkukuh hubungan perdagangan dan ekonomi.
Katanya, hubungan sebagai rakan dagang yang telah terjalin sejak 1967 perlu terus dimanfaatkan bagi meneroka potensi baharu dalam pelbagai sektor strategik.
“Sudah tentu, dari segi kerjasama, komitmen jangka panjang dengan Rusia ini bermakna kita mahu mencari peluang lebih baik,” katanya. – VIORY