Malaysia, Rusia sedia perkukuh kerjasama strategik jamin bekalan tenaga, minyak

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di sini. / Foto BERNAMA

KAZAN, 18 Jun – Malaysia dan Rusia sedia memperkukuh kerjasama strategik termasuk dalam aspek keterjaminan bekalan tenaga dan minyak jangka panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh kerjasama strategik bagi keterjaminan bekalan tenaga dan minyak jangka panjang.
  • Kerajaan MADANI komited ambil langkah strategik proaktif untuk kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga.
  • Perluas kerjasama ekonomi termasuk teknologi, keselamatan siber, ekonomi digital, AI, pertanian moden, farmaseutikal, pemansuhan visa dan perdagangan ringgit dan ruble.

Komitmen itu dicapai menerusi pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di sini pada Rabu.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, kerajaan MADANI bertekad untuk terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara melalui kerjasama antarabangsa.

“Langkah itu penting bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperluas kerjasama ekonomi, selain meneroka bidang baharu yang berpotensi memberi manfaat bersama.

“Antara bidang yang diberi perhatian termasuk teknologi, keselamatan siber, ekonomi digital, kecerdasan buatan, pertanian moden dan farmaseutikal,” menurut kenyataan itu lagi.

Perbincangan turut merangkumi usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, selain penerokaan mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan, iaitu ringgit dan ruble.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan, kini berada di Kazan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia dari 17 hingga 18 Jun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.