
KAZAN, 17 Jun – Malaysia sedia memperluas kerjasama dengan Rusia dalam pelbagai bidang strategik, tidak hanya tertumpu kepada sektor tenaga.
- Memperkukuh kerjasama dengan Rusia bukan hanya tenaga, tetapi juga teknologi baharu, pertahanan dan bidang strategik lain untuk manfaat bersama.
- Malaysia akan mengamalkan pendirian bebas dan bekerjasama dengan mana-mana negara yang memberi manfaat kepada rakyat.
- Seru negara Asia, Afrika, Rusia dan China agar lebih lantang mempertahankan prinsip kemanusiaan berhubung isu antarabangsa seperti Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama tenaga kekal penting terutama dalam aspek keselamatan bekalan, namun potensi hubungan kedua-dua negara jauh lebih besar untuk diteroka.
Malah Malaysia akan terus mengamalkan pendirian bebas dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana negara, selagi ia memberi manfaat kepada rakyat.
“Kerjasama tenaga sudah tentu perlu, namun pada masa sama, teknologi baharu, pertahanan dan semua bidang kerjasama lain juga harus diberi tumpuan. Seperti yang saya tegaskan berulang kali, pendirian kita adalah bebas, dan Malaysia akan bekerjasama dengan semua pihak yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemu bual media Rusia, bersempena Forum Perniagaan ASEAN-RUSIA, di sini.
Pada masa sama, beliau berkata, prinsip kepusatan ASEAN turut menjadi landasan penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan kebudayaan antara rantau ini dengan Rusia.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Anwar turut menyentuh isu antarabangsa termasuk perkembangan Iran-Amerika Syarikat serta situasi di Gaza, dengan menegaskan perlunya suara lebih tegas daripada negara-negara Asia, Afrika, Rusia dan China dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan.
“Afrika, Asia, Rusia dan China mesti lebih lantang menyuarakan pendirian mereka. Ini kerana kita tidak boleh membiarkan satu sistem yang membenarkan penderitaan terhadap kanak-kanak dan wanita berlaku setiap hari, sedangkan kita hanya duduk berdiam diri,” katanya.
Terdahulu ketika berucap pada Forum Perniagaan ASEAN-Rusia, Datuk Seri Anwar berkata, Kazan disifatkan sebagai bandar yang berjaya membangunkan pelbagai sektor strategik termasuk kecerdasan buatan, transformasi digital dan peralihan tenaga.
Kejayaan itu membuktikan kemampuan Tatarstan muncul sebagai hab pembangunan industri dan teknologi.
Beliau turut memuji kemajuan dicapai Tatarstan yang disifatkan mampu menjadi contoh dalam pembangunan teknologi dan industri.