Jepun adakan latihan simulasi tangani ancaman beruang liar

Seorang lelaki memakai maskot beruang sebagai sebahagian latihan simulasi berkenaan / REUTERS

TOKYO, 17 Jun– Latihan khas dilaksanakan di wilayah Tochigi, Jepun bagi menghadapi ancaman beruang liar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan melibatkan polis, pemburu berlesen dan pegawai kerajaan untuk menguji kesiapsiagaan jika beruang memasuki kawasan awam.
  • Simulasi menggambarkan beruang memasuki sekolah rendah, dikesan dan dipantau menggunakan dron sebelum ditangani pasukan khas.
  • Latihan termasuk penggunaan semburan penghalau beruang untuk meningkatkan kecekapan anggota yang terlibat.
  • Kementerian Alam Sekitar rekod 238 kes beruang sepanjang 2025 dengan 13 kematian, jumlah tertinggi pernah dicatatkan.

Langkah berkenaan diambil susulan peningkatan laporan kemunculan haiwan buas itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Ketua Jabatan Tindakan Hidupan Liar Tochigi, Tetsuya Maruyama berkata, jumlah laporan beruang di wilayah itu meningkat sejak April lalu.

“Latihan berkenaan melibatkan polis, pemburu berlesen serta pegawai kerajaan tempatan bagi menguji tahap kesiapsiagaan sekiranya beruang memasuki kawasan awam.

Ia turut mensimulasikan situasi seekor beruang memasuki kawasan sekolah rendah sebelum dikesan, dipantau menggunakan dron dan akhirnya ditangani oleh pasukan khas,” katanya.

Pihak berkuasa turut menjalankan latihan penggunaan semburan penghalau beruang bagi meningkatkan kecekapan anggota terlibat.

Awal bulan ini, kemunculan seekor beruang di bandar Utsunomiya menyebabkan hampir 100 sekolah dan sebuah kampus universiti ditutup selama tiga hari sebagai langkah berjaga-jaga.

Haiwan itu akhirnya berjaya ditangkap di kawasan perumahan pada 9 Jun lalu.

Menurut Kementerian Alam Sekitar Jepun, sebanyak 238 kes melibatkan beruang direkodkan sepanjang tahun 2025, melibatkan 13 kematian, iaitu jumlah tertinggi pernah dicatatkan. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.