
Kuala Lumpur, 2 Mei – Selangor FC bersama beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) meminta agar penubuhan badan pengadil profesional dilaksanakan segera bagi memperkukuh kredibiliti saingan domestik.
- Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC menyeru penubuhan badan pengadil profesional bebas bagi konsistensi keputusan dan memperkukuh integriti pertandingan.
- Beliau menegaskan penubuhan tidak boleh ditangguhkan jika Liga M mahu lebih telus dan diyakini semua pihak.
- Cadangan supaya Rakan Kongsi Liga diberi peranan lebih besar, termasuk peningkatan kerusi wakil kelab dalam lembaga MFL.
- Sesi meja bulat menumpukan tadbir urus, kewangan, hala tuju liga dan isu berulang seperti tunggakan gaji serta kos operasi meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, berkata langkah tersebut tidak boleh ditangguhkan sekiranya Liga M mahu bergerak ke arah yang lebih telus dan diyakini semua pihak.
Menurut beliau, kewujudan badan pengadil profesional yang bebas mampu memastikan keputusan perlawanan lebih konsisten selain memperkukuh integriti pertandingan.
“Sudah tiba masanya kita mempunyai badan pengadil profesional yang berdiri sendiri. Ini penting untuk meningkatkan keyakinan terhadap sistem pengadilan kita.
“Jika mahu Liga M menjadi penanda aras di rantau ASEAN, aspek ini perlu diberi keutamaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi meja bulat anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama wakil kelab Liga M baru- baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Rakan Kongsi Liga diberikan peranan lebih besar dalam struktur tadbir urus liga termasuk penambahan kerusi dalam lembaga pengarah MFL.
Katanya, ketika ini hanya tiga daripada 10 kerusi diisi wakil kelab, dan jumlah tersebut dilihat tidak mencerminkan peranan besar mereka sebagai pemegang taruh utama.
“Saya berpandangan wajar jika wakil kelab diberikan sekurang-kurangnya majoriti, contohnya enam daripada 10 kerusi dalam lembaga,” katanya.
Sesi meja bulat berkenaan diadakan susulan gesaan beberapa kelab yang mahukan satu platform rasmi bagi membincangkan isu kritikal termasuk tadbir urus, kewangan serta hala tuju liga.
Antara isu yang terus berulang ialah masalah tunggakan gaji serta peningkatan kos operasi yang semakin menekan kebanyakan pasukan Liga M.