Tuba Ocean Run 2026 lonjak Pulau Tuba ke pentas pelancongan sukan antarabangsa

Imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia

LANGKAWI, 2 Mei – Usaha mengantarabangsakan Pulau Tuba di Langkawi, Kedah terus diperkukuh menerusi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa, Tuba Ocean Run 2026, yang julung kali diadakan tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menarik penyertaan antarabangsa, meletakkan Pulau Tuba sebagai destinasi baharu dalam kalendar pelancongan sukan serantau.
  • Menawarkan tiga kategori larian, 8 km, 18 km dan 30 km, sesuai untuk pelari amatur hingga berpengalaman.
  • Berpotensi memacu pembangunan ekonomi komuniti dan memperkenalkan budaya serta gaya hidup masyarakat Pulau Tuba.

Acara larian tersebut berjaya menarik penyertaan pelari dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Belanda, New Zealand dan Jepun, sekali gus meletakkan Pulau Tuba sebagai destinasi baharu dalam kalendar pelancongan sukan serantau.

Tuba Ocean Run 2026 menawarkan tiga kategori larian iaitu 8 kilometer, 18 km dan 30 km, yang sesuai untuk pelbagai tahap keupayaan peserta, daripada amatur hingga pelari berpengalaman.

Menurut penganjur, Jeff Ooi Jon Wan, pemilihan Pulau Tuba sebagai lokasi acara adalah berasaskan keunikan bentuk muka bumi serta keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara.

Beliau berkata, laluan larian di pulau tersebut memberikan pengalaman berbeza kepada peserta dengan gabungan trek kampung, laluan berbukit dan pesisir pantai yang menyajikan panorama menarik serta menenangkan.

“Pulau Tuba sangat sesuai untuk penganjuran acara sukan kerana trafik kenderaan yang minimum, selain laluan jalan raya yang lebih selamat berbanding lokasi lain,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran acara seumpama ini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pelancongan komuniti, di samping membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk terlibat secara langsung dalam industri pelancongan.

Dalam masa sama, acara ini berpotensi memperkenalkan keunikan budaya serta gaya hidup masyarakat Pulau Tuba kepada peserta antarabangsa, sekali gus memperkukuh imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia.