China sekat impian Perancis, kekalkan kejuaraan Piala Thomas

China meraikan kemenangan selepas menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir Pusingan Akhir Piala Thomas dan Uber BWF 2026 di Forum Horsens/ BERNAMA

HORSENS (Denmark), 4 Mei – China menamatkan impian Perancis untuk melakar sejarah menjulang trofi Piala Thomas apabila menewaskan pasukan Eropah itu 3-1 bagi mempertahankan gelaran juara pada perlawanan akhir edisi 2026 di Forum Horsens di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Shi Yu Qi menang 21-16, 16-21, 21-17 selepas 85 minit menewaskan Christo Popov.
  • Alex Lanier menewaskan Li Shi Feng 21-13, 21-10 dalam 43 minit dengan aksi tenang dan klinikal.
  • Weng Hong Yang menang 22-20, 20-22, 21-19 selepas 96 minit; beregu He Ji Ting dan Ren Xiang Yu menamatkan perlawanan serta menghadiahkan gelaran ke-12.

China membuka tirai kemenangan menerusi pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia Shi Yu Qi yang mengharungi pertarungan selama 85 minit untuk menangkis tentangan sengit pemain nombor empat dunia Christo Popov, 21-16, 16-21, 21-17 dalam perlawanan pembukaan yang mendebarkan.

Perancis bangkit menyamakan kedudukan menerusi perseorangan kedua dan pemain nombor 10 dunia Alex Lanier, yang mempamerkan aksi tenang dan klinikal dengan menggabungkan permainan di jaring yang menarik untuk mengejutkan pemain nombor tujuh dunia Li Shi Feng, 21-13, 21-10 dalam tempoh 43 minit.

Pasukan Asia itu bagaimanapun kembali menguasai permainan pada perlawanan ketiga, dengan perseorangan ketiga dan pemain nombor 15 dunia Weng Hong Yang berhempas pulas untuk menewaskan pemain nombor 17 dunia Toma Junior Popov, 22-20, 20-22, 21-19 dalam pertarungan sengit selama 96 minit.

Ketika kejuaraan menjadi taruhan, beregu lelaki nombor 99 dunia He Ji Ting-Ren Xiang Yu tampil cemerlang untuk memberikan pukulan penamat apabila mengatasi pasangan nombor 52 dunia Eloi Adam-Leo Rossi.

Selepas memenangi set pertama 21-13, pasangan China itu menamatkan perlawanan dengan 21-16 menerusi permainan di jaring Ji Ting yang menarik bagi memastikan kemenangan dan menghadiahkan gelaran ke-12 Piala Thomas buat China.

Rakan sepasukan China kemudian meluru masuk ke gelanggang, saling berpelukan sebelum meraikan kejayaan dalam suasana penuh kegembiraan.- BERNAMA