
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu melakukan anjakan paradigma daripada sebuah institusi yang sekadar membuka peluang, kepada sebuah ekosistem yang membina kekuatan bagi mendominasi pentas global dalam tempoh empat dekad akan datang.
- Perkukuh MARA sebagai konglomerat Bumiputera mandiri; kurangkan kebergantungan kerajaan dan kukuhkan Akta MARA demi kesinambungan.
- Pelaksanaan teras penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi untuk memacu dominasi dan keupayaan komersial jangka panjang.
- Transformasi institusi pendidikan kepada medan inovasi; lahirkan teknousahawan dan tingkatkan usahawan MARA menjadi pemilik jenama bertaraf global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan MARA kini berada di fasa kritikal untuk berubah menjadi sebuah konglomerat pembangunan Bumiputera yang mandiri dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, agenda pemerkasaan itu mesti berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu penyertaan, pemilikan, dan penguasaan ekonomi.
“Saya mengimpikan MARA menuju 100 tahun sebagai sebuah konglomerat yang berdaya saing. Justeru, Akta MARA perlu diperkukuh supaya hala tuju ini ‘tahan zaman’. Akta Ibu MARA ini mesti menjadi kubu kuat kepada agenda Bumiputera,” katanya ketika berucap pada Malam Gala Persada MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, pengoptimuman aset menerusi 32 syarikat aktif MARA dalam sektor strategik seperti aeroangkasa, kewangan, dan pengangkutan memerlukan disiplin tadbir urus yang tinggi serta keberanian komersial yang jelas.
“Kini dengan kekuatan 345 institusi pendidikan dan lebih 143,000 pelajar, MARA memiliki kapasiti besar dalam membentuk bakat negara”, katanya.
Beliau menegaskan Institusi MARA tidak seharusnya menjadi tempat menimba ilmu semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai medan penciptaan nilai dan inovasi menerusi peralihan daripada ‘penggunaan ilmu’ kepada ‘penciptaan ilmu’.
Tambahnya, kadar kebolehpasaran graduan TVET MARA kini melebihi 98 peratus, membuktikan latihan yang diberikan selari dengan kehendak industri. Walau bagaimanapun, aspirasi MARA tidak seharusnya terhenti setakat melahirkan graduan yang hanya mencari pekerjaan.
“Kita tidak lagi mahu melahirkan graduan yang sekadar mencari pekerjaan, tetapi teknousahawan yang mampu mencipta peluang ekonomi buat negara,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakan industri untuk memperkukuh kerjasama dalam membimbing dan melatih generasi muda agar mereka bukan sahaja bersedia mendepani cabaran, malah berupaya menguasai masa depan sepenuhnya.
Menyentuh soal kebajikan, beliau memberi jaminan bahawa kemiskinan tidak akan menjadi penghalang kepada pendidikan berkualiti. Melalui MARA Education Sponsorship Programme (MESH) dan Wakaf MARA Madani yang telah mengumpul hampir RM100 juta, akses pendidikan bagi golongan asnaf dan B40 akan terus diutamakan.
Bagi sektor keusahawanan pula, beliau mahu 1.34 juta usahawan di bawah ekosistem MARA “naik kelas” untuk menjadi pemilik jenama bertaraf global, selari dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Pada majlis tersebut, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang juga alumni MRSM Muar, telah dianugerahkan Ikon Alumni MARA atas sumbangan dan legasi beliau dalam memacu transformasi negara.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.