
KUALA LUMPUR, 25 Mei– Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa satu rombakan atau ‘reset’ perlu dilakukan terhadap skuad badminton negara susulan keputusan hambar pada kejohanan Masters Malaysia 2026 yang berakhir pada Ahad (24 Mei).
- Prestasi hambar walaupun sokongan padu peminat; alasan tidak lagi memadai, perlu jujur tentang kekurangan pasukan.
- Kembalikan fokus kepada asas: disiplin, konsistensi dan mentaliti juara untuk bersaing di peringkat tertinggi.
- Tuntut akauntabiliti dari pemain, jurulatih dan pengurusan; laksanakan penambahbaikan segera dalam latihan untuk kejohanan akan datang.
Menerusi satu kenyataan di laman media sosial X, beliau menyifatkan keputusan kali ini bukanlah sesuatu yang diharapkan, meskipun mendapat sokongan luar biasa daripada peminat tempatan yang membanjiri stadium.
“Sebab itu kita perlu jujur. Sokongan yang diterima sudah berada pada tahap dunia, tetapi prestasi kita kali ini belum mencapai tahap tersebut. Pada tahap ini, alasan tidak lagi memadai. Kita perlu melakukan rombak dan fokus kembali,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kembali kepada aspek asas dalam sukan elit iaitu disiplin, konsistensi dan mentaliti juara untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Jelas beliau, penambahbaikan segera akan dilaksanakan melibatkan pendekatan latihan serta memperkukuh fokus bagi menghadapi kejohanan akan datang.
Dalam pada itu, beliau turut menuntut akauntabiliti daripada semua pihak yang terlibat dalam ekosistem badminton negara tanpa bergantung kepada reputasi semata-mata.
“Semua pihak kena ambil tanggungjawab pemain, jurulatih dan pengurusan. Dalam sukan elit, nama sahaja tidak cukup. Prestasi mesti konsisten,” tegas beliau lagi.
Meskipun kecewa, beliau menyeru agar barisan pemain terus berjuang dan tidak berputus asa untuk kembali bangkit pada masa hadapan.
Cabaran Malaysia pada kejohanan tersebut berakhir pada Ahad (24 Mei) selepas beregu profesional lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terpaksa berpuas hati selaku naib juara akibat tumpas kepada pasangan Denmark di pentas akhir.