
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Pameran Auto Fest 2026 edisi keempat yang berlangsung di Jalan Raja, Dataran Merdeka berjaya menarik ribuan pengunjung dalam dan luar negara.
- Menampilkan pelbagai jenama automotif terkemuka dan inovasi seperti pemanduan autonomi, paparan digital dan integrasi kecerdasan buatan.
- Pameran mengetengahkan 600 kereta pelbagai jenama dan turut disertai peserta dari Singapura dan Thailand.
- Selain pameran, acara sediakan forum industri, jualan aksesori, demonstrasi teknologi dan interaksi dengan pakar serta wakil jenama.
Acara anjuran Persatuan Autoshow Malaysia itu menampilkan pelbagai jenama automotif terkemuka serta inovasi terkini dalam industri pengangkutan.
Presidennya, Mohd Roslan Mohd Rafi berkata, program selama dua hari itu bertujuan menarik minat orang ramai terutama pelancong luar negara bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Ia diadakan di hadapan bangunan ikonik Sultan Abdul Samad supaya dapat memberikan keterujaan dan mengangkat kedudukan lokasi pelancongan negara yang menjadi mercu tanda bersejarah.
“Pengunjung berpeluang melihat secara dekat ciri-ciri canggih seperti sistem pemanduan autonomi, paparan digital dan integrasi kecerdasan buatan,” katanya.

Jelas Roslan, pameran itu mengetengahkan 600 kereta pelbagai jenama dan turut disertai peserta dari Singapura dan Thailand.
Turut dijemput khas ialah barisan van berjenama Hiace yang diubah suai luaran dan dalaman.
“Selain pameran kenderaan, acara ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti forum industri, jualan aksesori dan demonstrasi teknologi.
“Para pengunjung juga dapat berinteraksi secara langsung dengan pakar automotif serta wakil jenama terkenal,” katanya.
Menurut Roslan, pameran auto fest ini dijangka terus menjadi platform penting bagi pemain industri untuk mendekatkan pengguna dengan perkembangan teknologi automotif global.
Majlis penutupan acara itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.