
MIRI, 3 Mei – Seorang wanita maut, manakala dua lagi individu cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dan lori di Simpang Long Laput, kira-kira enam kilometer dari Jalan Long Lama, Baram.
- Mangsa dikenal pasti sebagai Lidia Ubong Ann, 41 tahun, pemandu kereta.
- Pasukan bomba tiba, mengeluarkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu menggunakan peralatan khas; mangsa disahkan maut di lokasi.
- Dua mangsa cedera dirawat di hospital; pemandu lori, 46 tahun, tidak mengalami kecederaan dan mayat diserahkan kepada polis.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Lidia Ubong Ann, 41 tahun, yang merupakan pemandu kereta.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi JBPM negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.39 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba yang tiba pada pukul 1.47 petang mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan dan kereta mangsa.
Dalam laporan tersebut Komander Operasi, PBK II Erec Unyi melaporkan, mangsa didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan.
Dua lagi mangsa yang cedera, masing-masing seorang wanita berusia 19 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun, telah dibawa ke hospital berhampiran.
Sementara itu, pemandu lori berusia 46 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.