YAPEIM belanja RM17.02 juta bina, baik pulih 374 kediaman sejak 2020

Sejak 1985 hingga Disember 2025, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM753 juta membabitkan lebih 10.1 juta penerima di seluruh negara/Foto Bernama

PASIR PUTEH, 3 Mei – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menerusi Program Sinar Lestari membelanjakan RM17.02 juta melibatkan 374 projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara bermula 2020 hingga Mac tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • YAPEIM melaksanakan 228 projek baik pulih dan 146 bina baharu; 268 projek siap, 106 masih dalam pembinaan.
  • Sejak 1985 hingga Disember 2025, YAPEIM mengagihkan lebih RM753 juta kepada lebih 10.1 juta penerima di seluruh negara.
  • Program Sinar Lestari menyerahkan rumah baharu kepada asnaf, termasuk penyerahan kepada penerima di Pasir Puteh dan Jerteh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, sebanyak 228 projek baik pulih dan 146 bina baharu dilaksanakan dengan 268 projek telah siap, manakala baki 106 lagi dalam proses pembinaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan/Foto Bernama

Jelas beliau, secara keseluruhan sejak 1985 hingga Disember 2025, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM753 juta membabitkan lebih 10.1 juta penerima di seluruh negara.

”Ia melibatkan pelbagai teras program, iaitu pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan yang dilakukan secara inklusif dan sistematik di bawah kempen #MadaniMembantu,” katanya.

Dr Zulkifli berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Penyerahan Rumah Program Sinar Lestari YAPEIM kepada asnaf Siti Khadijah Zulkifli, 38 tahun, yang menerima bantuan bina baharu kediaman berjumlah RM80,000 di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut melakukan penyerahan rumah jenis sama kepada asnaf Mohd Kamal Yaakob, 44 tahun di Jerteh, Terengganu.-Bernama