
KULAI, 24 Oktober – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan urusan berkaitan kedudukan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Ketua Setiausaha KDN dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
- Saifuddin berkata beliau berjiwa besar dan menerima teguran dengan hati terbuka.
- Beliau mempersoalkan keupayaan pemimpin pembangkang menjadi pendamai susulan konflik dalaman parti.
- Konflik pembangkang melibatkan kumpulan yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu sedang diuruskan kedua-dua pihak mengikut peraturan pentadbiran awam sedia ada.
“Hal itu sedang diuruskan Ketua Setiausaha saya dan Ketua Setiausaha Negara. Sebab pentadbiran awam mempunyai semua nama peraturan bagi menguruskan keadaan yang sedemikian”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) Ke-78 dan Peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM) berserta Peluncuran Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Sedenak di Kulai, Johor.
Dalam pada itu, mengulas berkaitan Ahli Parlimen Pembangkang yang mendakwa beliau gagal menjadi orang tengah dalam isu membabitkan AKPS dan anggotanya, Saifuddin memaklumkan, beliau berjiwa besar dan menerima teguran berkenaan dengan hati terbuka.
Namun, beliau turut mempersoalkan keupayaan pemimpin pembangkang memainkan peranan sebagai pendamai apabila parti mereka sendiri berdepan pepecahan termasuk konflik antara kumpulan yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.