
FLORIDA, 26 Mei– Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi dilaporkan berdepan masalah keletihan otot kaki kurang daripada tiga minggu sebelum bermulanya saingan Piala Dunia.
- Inter Miami mengesahkan Messi dikeluarkan pada perlawanan terakhir kelab sebelum Piala Dunia.
- Messi meninggalkan padang pada minit ke-73 dalam kemenangan 6-4 ke atas Philadelphia Union, memegang belakang paha selepas sepakan percuma.
- Ketua jurulatih Guillermo Hoyos mengatakan Messi nampak letih akibat permukaan padang yang berat dan cuba meredakan kebimbangan kecederaan.
- Lionel Scaloni menyenaraikan Messi dalam skuad awal 55 pemain; Argentina akan membuka saingan menentang Algeria di Kansas City pada 16 Jun.
Kelabnya, Inter Miami mengesahkan perkara itu pada Isnin (25 Mei) selepas penyerang antarabangsa Argentina berkenaan terpaksa dikeluarkan pada perlawanan terakhir kelab sebelum kejohanan bermula.
Messi, 38 tahun, meninggalkan padang pada minit ke-73 ketika membantu Inter Miami mencatatkan kemenangan 6-4 ke atas Philadelphia Union dalam saingan Major League Soccer (MLS) pada Ahad, selepas dilihat memegang bahagian belakang paha susulan satu sepakan percuma.
Ketua Jurulatih Inter Miami, Guillermo Hoyos, sebelum ini mengurangkan kebimbangan mengenai kecederaan tersebut selepas perlawanan dan menyatakan bahawa Messi hanya kelihatan letih ekoran beraksi di permukaan padang yang berat.
Saingan MLS kini berehat bagi memberi laluan kepada kejohanan Piala Dunia yang akan dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico bermula 11 Jun hingga 19 Julai depan.
Pengendali Argentina, Lionel Scaloni telah menyenaraikan pemenang Ballon d’Or lapan kali itu dalam skuad awal 55 pemain yang diumumkan awal bulan ini, menjelang aksi pembukaan juara bertahan itu menentang Algeria di Kansas City pada 16 Jun.
Messi sebelum ini mengemudi Argentina menjulang gelaran Piala Dunia ketiga mereka di Qatar pada tahun 2022 dan dia dijangka bakal mengetuai pasukan itu sekali lagi untuk penampilan keenamnya di pentas berprestij berkenaan. -REUTERS