Semangat luar biasa warnai KL City Run 21KM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Suasana sekitar ibu negara bertukar meriah apabila ribuan peserta menyertai acara larian 21 kilometer menerusi KL City Run 21KM 2026 di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peserta dilepaskan seawal pukul 4.00 pagi untuk elak cuaca panas, laluan menampilkan mercu tanda ikonik seperti KLCC dan Merdeka 118.
  • Sambutan menggalakkan melibatkan pelbagai peringkat umur, kelab kecergasan dan peserta antarabangsa; turut ada larian 10KM dan larian santai keluarga 5KM.
  • Acara menawarkan hadiah keseluruhan RM30,000, medal dan t-shirt untuk peserta, serta wang tunai dan trofi untuk pemenang tempat pertama hingga kelima.

Acara yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka itu menarik penyertaan pelari tempatan dan antarabangsa dalam kategori separuh maraton.

Menurut penganjur, Mohd Roslan Mohd Rafi, peserta dilepaskan seawal pukul 4.00 pagi bagi mengelakkan cuaca panas selain memberi pengalaman larian yang lebih mempesonakan melalui laluan ikonik sekitar bandar raya termasuk KLCC dan bangunan Merdeka 118.

Foto RTM

Pengerusi Persatuan Global Malaysia itu turut menyifatkan sambutan tahun ini sangat menggalakkan dengan penyertaan daripada pelbagai peringkat umur termasuk komuniti larian, kelab kecergasan dan peserta antarabangsa.

“Selain kategori 21KM, acara turut menawarkan larian 10KM dan larian santai keluarga sejauh 5km bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Acara ini juga dilihat membantu merancakkan sektor pelancongan negara terutama apabila kita sedang meraikan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Menurut Roslan, acara buat kali kedua itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000.

“Setiap peserta larian diberikan medal dan t-shirt manakala pemenang tempat pertama hingga kelima bagi setiap kategori dianugerahkan wang tunai dan trofi,” katanya.

Foto RTM

Program itu dianjurkan dengan Kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan disokong Kementerian Belia dan Sukan serta Tourism Malaysia.

Acara larian 21km dilepaskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Naquib Hamdan dan Pengarah MOTAC Wilayah Kuala Lumpur/Putrajaya, Mohamad Nawwar Mohamad Noh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.