
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Atlet pecut muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee bertekad untuk melakar catatan masa terbaik apabila mengetuai cabaran kuartet 4×100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 20 Tahun (B-20) di Hong Kong, yang bermula esok.
- Kuartet masih dalam fasa baharu dan memerlukan lebih pendedahan antarabangsa untuk memantapkan larian.
- Kepercayaan antara satu sama lain adalah kunci utama, dan latihan berjalan lancar.
- Pengalaman beraksi di Jepun memberi suntikan moral, tidak menjadikan jadual padat sebagai alasan.
Pada kejohanan yang dijadualkan berlangsung hingga Ahad ini, Danish Iftikhar bakal bergandingan bersama tiga lagi pelari remaja berbakat iaitu Danish Irfan Tamrin, Muhammad Dzul Danish Jamari, dan Muhammad Sayyid Amin Roslan.
Mengulas mengenai persiapan pasukan, atlet kelahiran Johor itu menyifatkan kuartet tersebut masih dalam fasa baharu dan memerlukan lebih banyak pendedahan di pentas antarabangsa untuk memantapkan larian.
“Sebelum ini kami bersaing sesama sendiri di peringkat MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia), tetapi sekarang kami bergabung dalam satu pasukan demi Malaysia.
“Dalam acara berganti-ganti, kepercayaan antara satu sama lain adalah kunci utama dan setakat ini, segala proses latihan berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Hong Kong.
Dalam pada itu, Danish yang baru sahaja pulang daripada saingan Kejohanan Seiko Japan Continental di Jepun, enggan menjadikan jadual padat sebagai alasan untuk tidak mempamerkan prestasi cemerlang.
Jelasnya, pengalaman beraksi di Jepun memberikan suntikan moral tambahan buat dirinya sebelum turun beraksi di Hong Kong.
“Alhamdulillah, pengalaman di Jepun sangat berharga untuk saya. Walaupun tidak sampai seminggu selepas itu kami akan beraksi pula di Hong Kong, kami perlu sentiasa bersedia secara mental dan fizikal untuk setiap kejohanan,” tambahnya lagi.
Selain menjadi sandaran utama dalam acara 4x100m, Danish turut menggalas tanggungjawab besar dalam acara individu 100m dan 200m pada kejohanan berkenaan.