
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Isu berkaitan pengurusan dan kewangan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) termasuk melibatkan tunggakan gaji pemain akan diselesaikan tidak lama lagi.
- Penaung Datuk Fahmi Fadzil berkata beberapa isu telah diuruskan lebih baik sejak pelantikan beliau sebagai penaung.
- Beliau menegaskan pengukuhan pengurusan kewangan dan pentadbiran perlu bagi mengelakkan isu sama berulang.
- KL City yakin isu dana tidak lagi menjadi masalah besar dan akan uruskan perkara untuk pastikan pelesenan tidak terganggu.
- MFL mengenakan denda RM45,000 ke atas KL City FC di bawah Artikel 8(f) selepas mesyuarat Jawatankuasa FIB.
Penaung kelab tersebut, Datuk Fahmi Fadzil berkata beberapa isu yang sebelum ini berbangkit telah berjaya diuruskan dengan lebih baik hasil penambahbaikan dalam pengurusan kelab itu sejak beliau dilantik sebagai penaung kepada Kuala Lumpur City FC.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi menegaskan bahawa aspek pengurusan kewangan dan pentadbiran perlu diperkukuh bagi mengelakkan isu sama berulang pada musim akan datang.
“Beberapa perkara telah ditambah baik. Kita percaya isu dana, Insya-Allah tidak lagi menjadi satu isu yang terlalu besar.
“Kita akan uruskan beberapa perkara lagi untuk pastikan aspek pelesenan tidak menghadapi apa-apa halangan”, katanya demikian selepas Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai, di sini, hari ini.
Terdahulu, media semalam melaporkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenakan denda masing-masing sebanyak RM45,000 ke atas KL City FC serta sebuah lagi kelab sukan itu di bawah Artikel 8(f) Peraturan Pelesenan Kelab MFL CLR.
Keputusan hukuman itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL yang diadakan semalam.