Glasner tekad buru trofi Eropah bersama Crystal Palace

Pengendali Crystal Palace, Oliver Glasner./Foto AFP

BECKENHAM, 27 Mei – Pengendali Crystal Palace, Oliver Glasner tekad menamatkan jodohnya bersama kelab itu dengan kecemerlangan menjelang aksi final Liga Konferensi UEFA (UECL) menentang Rayo Vallecano di Leipzig, awal pagi esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Glasner pulih reputasi selepas musim bergelut dengan membawa Palace ke final Eropah pertama kelab.
  • Hubungan dengan penyokong pernah tegang akibat satu kemenangan dalam 15 perlawanan; kecaman menuntut penyingkiran.
  • Kehilangan tonggak pertahanan Marc Guehi dan bintang Eberechi Eze menambah cabaran musim ini.
  • Glasner menegaskan skuad perlu fokus untuk membawa pulang trofi Eropah pertama dalam sejarah kelab.

Aksi penutup tirai tersebut bakal menyaksikan Glasner, 51, meninggalkan legasi kukuh buat The Eagles selepas melalui tempoh pasang surut yang mencabar sepanjang musim ini.

Hubungan pengurus kelahiran Austria itu dengan penyokong tegar kelab sebelum ini dilaporkan retak ekoran kemerosotan prestasi hambar pasukan, termasuk ketika keputusan seri 1-1 menentang wakil Bosnia, HSK Zrinjski Mostar, tiga bulan lepas.

Sorakan liar peminat yang menuntut penyingkirannya tercetus selepas Palace hanya sekadar mencatatkan satu kemenangan daripada 15 perlawanan dalam semua kejohanan.

Situasi tersebut diburukkan lagi dengan penghijrahan tonggak pertahanan utama, Marc Guehi ke Manchester City serta wira Piala FA, Eberechi Eze yang menyertai Arsenal pada awal musim.

“Bagi saya, situasi sukar itu kini sudah berlalu. Skuad perlu fokus sepenuhnya untuk perlawanan akhir ini bagi membawa pulang trofi Eropah yang pertama dalam sejarah kelab,” jelasnya.

Bagaimanapun, segala krisis sebelum ini kini dilupakan selepas Glasner yang pernah mencipta sejarah membimbing Palace menewaskan Manchester City untuk menjulang Piala FA musim lepas berjaya memulihkan reputasinya dengan membawa kelab ke pentas final Eropah buat kali pertama. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.