
PARIS, 27 Mei – Juara bertahan, Coco Gauff memulakan kempen mempertahankan mahkota Terbuka Perancis dengan langkah kanan selepas menewaskan rakan senegaranya dari Amerika Syarikat, Taylor Townsend.
- Gauff menang straight set 6-4, 6-0.
- Lawan mendahului 3-1 selepas memecah servis tetapi kemudian goyah, hanya menambah satu permainan sebelum tewas.
- Gauff menguasai set kedua, menutup perlawanan dalam 24 minit, dan berseloroh tentang pek ais sambil berharap penonton tidak pengsan.
Pada aksi pusingan pembukaan yang berlangsung di Roland Garros itu, pemain pilihan keempat kejohanan tersebut mencatatkan kemenangan straight set 6-4, 6-0.
Townsend, 30, yang pernah menundukkan Gauff dalam satu-satunya pertemuan mereka sebelum ini pada 2019, pada mulanya mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya mematahkan servis awal lawan untuk mendahului 3-1.
Bagaimanapun, rentak permainan beliau mula goyah dan hanya mampu memenangi satu lagi permainan ketika ketinggalan 3-5 sebelum akur melepaskan set pertama.
Kekalahan itu ternyata mematahkan sisa perjuangan Townsend apabila Gauff mempamerkan penguasaan mutlak pada set kedua untuk menutup perlawanan dalam tempoh hanya 24 minit.
Bintang tenis meningkat naik itu bakal membuat perhitungan dengan wakil Mesir, Mayar Sherif pada pusingan seterusnya.
Ketika ditemui selepas perlawanan di Gelanggang Philippe Chatrier, Gauff sempat berseloroh mengenai tindakannya menggunakan pek ais ketika waktu rehat.
“Saya berasal dari Florida, jadi cuaca sebegini bukan satu masalah. Sejujurnya, saya lebih bersimpati kepada para penyokong yang terpaksa menonton dalam keadaan bahang dan saya berharap tiada sesiapa yang pengsan. Jadi, saya gembira dapat menamatkan aksi ini dengan cepat,” katanya. – AFP