Waymo gantung sementara operasi kenderaan tanpa pemandu di lebuh raya AS

Foto AFP

AMERIKA SYARIKAT, 18 November -Syarikat teknologi kenderaan autonomi, Waymo, menggantung sementara operasi kenderaan tanpa pemandu di lebuh raya Amerika Syarikat susulan beberapa insiden yang mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa California mengenakan larangan sementara terhadap operasi Waymo di lebuh raya negeri berikutan beberapa insiden.
  • Larangan itu turut menjejaskan operasi Waymo di Phoenix, Austin dan Miami.
  • Rakaman menunjukkan satu kenderaan menghampiri dua kereta polis pada kelajuan tinggi sebelum cuba memotong kedua-duanya.
  • Jabatan Kenderaan Bermotor mahu bukti langkah pembetulan efektif sebelum mencabut sekatan; tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian zon pembinaan.

Keputusan itu dibuat selepas pihak berkuasa California mengenakan larangan sementara terhadap perkhidmatan berkenaan di lebuh raya negeri itu.

Waymo, anak syarikat Alphabet yang juga syarikat induk Google, dalam satu kenyataan memaklumkan, penggantungan itu turut melibatkan operasi di beberapa bandar lain termasuk Phoenix, Austin dan Miami.

Langkah berkenaan membolehkan syarikat itu menilai semula prestasi sistem kenderaan autonominya susulan insiden yang berlaku di California.

Antara insiden yang mencetuskan perhatian ialah sebuah kenderaan Waymo yang dirakam menghampiri dua kereta polis pada kelajuan tinggi sebelum cuba memotong kedua-duanya, meskipun lampu kecemasan polis sedang berkelip.

Ketika kejadian, anggota polis berkenaan sedang mengikuti sebuah lori pembinaan yang bergerak perlahan di lebuh raya San Francisco.

Insiden itu mendorong pihak berkuasa California melaksanakan larangan sementara terhadap operasi kenderaan Waymo di lebuh raya bermula 11 November lalu.

Jabatan Kenderaan Bermotor California turut mendedahkan satu lagi kejadian apabila tiga kenderaan autonomi Waymo memasuki kawasan penutupan jalan yang sedang menjalani kerja pembinaan di kawasan Teluk San Francisco.

Menurut jabatan itu, operasi kenderaan tanpa pemandu berkenaan menimbulkan risiko keselamatan kepada orang awam berikutan kejadian berulang yang melibatkan kemasukan kenderaan ke zon pembinaan aktif.

Sekatan itu akan kekal sehingga Waymo membuktikan langkah pembetulan berkesan telah dilaksanakan.

Bagaimanapun, syarikat itu menjelaskan insiden di zon pembinaan berkenaan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau pelanggaran.

Setakat ini, Waymo merekodkan kira-kira 500,000 perjalanan setiap minggu dan mendakwa teknologinya berjaya mengurangkan kadar kemalangan serius sebanyak 95 peratus berbanding kenderaan yang dipandu manusia.

Syarikat itu turut menjalankan ujian kenderaan autonomi di London sejak 2016, selain merancang memperluas operasinya ke Munich dan Madrid pada 2027. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.