Ukraine guna dron pindah tentera cedera di zon perang

Foto AFP

UKRAINE, 18 November -Ukraine kini memanfaatkan teknologi dron bagi memindahkan anggota tentera yang cedera dari kawasan pertempuran berisiko tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan dron dan periuk api menyukarkan operasi menyelamat melalui laluan darat.
  • Dron Stargate buatan Skyfall digunakan dalam tiga misi, terbang 105 km/j, muatan 150 kg, julat operasi 30 km.
  • Beberapa percubaan dibatalkan selepas dikesan dron serangan Rusia; percubaan ketiga berjaya capai ketinggian 100 meter.
  • Gangguan elektronik memutus sambungan kawalan; AI terbina mengambil alih sementara, operasi selesai sekitar 15 minit dipantau tentera.

Ia susulan ancaman serangan dron dan periuk api yang menyukarkan operasi menyelamat melalui laluan darat.

Dron dikenali sebagai Stargate, dibangunkan syarikat Skyfall, telah digunakan dalam tiga misi pemindahan setakat ini.

Dron berkenaan mampu terbang pada kelajuan 105 kilometer sejam, membawa muatan sehingga 150 kilogram dengan jarak operasi sejauh 30 kilometer.

Setiap unit dianggarkan bernilai AS$50,000.

Syarikat Skyfall menyasarkan pengeluaran sehingga 1,000 unit dron setiap bulan menjelang penghujung 2026.

Dalam pada itu, juruterbang dron yang menggunakan nama panggilan KVN menyifatkan misi menyelamat Yevgen sebagai pengalaman berbeza berbanding operasi biasa.

Menurutnya, suasana menjadi sunyi sebaik sahaja mangsa ditempatkan di dalam kapsul khas dron berkenaan.

Misi pemindahan itu bagaimanapun berdepan beberapa halangan apabila beberapa dron serangan Rusia dikesan, menyebabkan percubaan pertama dan kedua terpaksa dibatalkan.

Pada percubaan ketiga, dron akhirnya berjaya diterbangkan hingga mencapai ketinggian 100 meter.

Sambungan komunikasi antara juruterbang dan dron turut terputus seketika akibat gangguan sistem elektronik pihak Rusia.

Bagaimanapun, sistem kecerdasan buatan (AI) terbina dalam mengambil alih kawalan sementara sehingga sambungan komunikasi kembali pulih.

Keseluruhan operasi pemindahan mengambil masa kira-kira 15 minit dan dipantau rapi pasukan tentera Ukraine. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.