
BUKIT JALIL, 1 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan tiga inisiatif utama sempena Sambutan Hari Pekerja 2026 yang memberi tumpuan kepada kebajikan, perlindungan sosial dan daya tahan ekonomi golongan pekerja.
- Perkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin: bantuan kewangan sehingga 30 hari selepas cuti bersalin, 80% gaji, manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita.
- Perluasan perlindungan PERKESO kepada rakyat Malaysia bekerja di luar negara, bermula pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura, dengan pindaan undang-undang diperlukan.
- Laksanakan Pakej Daya Tahan Ekonomi 2026 (PACE) melebihi RM710 juta untuk latihan, perlindungan sosial SIP, pengupayaan gig dan geran latihan industri.
Tiga pengumuman itu melibatkan cadangan pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB), peluasan perlindungan PERKESO kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara serta pelaksanaan Pakej Daya Tahan Ekonomi 2026 (PACE).
Perdana Menteri berkata, kerajaan komited memperkukuh perlindungan sosial pekerja selaras perubahan landskap pasaran buruh dan keperluan semasa tenaga kerja negara.
Elaun Pasca Cuti Bersalin
Bagi pengumuman pertama, kerajaan bersetuju memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
Elaun itu sebagai bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita.
“Faedah ini dicadangkan pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita yang akan dibayar secara one-off.
“Inisiatif proaktif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 132 ribu orang pekerja wanita,” katanya.

Peluasan perlindungan PERKESO kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara
Pengumuman kedua pula membabitkan cadangan peluasan perlindungan PERKESO kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Datuk Seri Anwar berkata, langkah itu penting memandangkan secara purata satu nyawa rakyat Malaysia hilang setiap minggu dalam kalangan pekerja rentas sempadan.
“Kerajaan akan memperkukuh kerangka undang-undang sedia ada, termasuk meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara,” katanya.
Pakej khas PACE bernilai melebihi RM710 juta
Bagi pengumuman ketiga, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan PACE bernilai melebihi RM710 juta bagi memperkukuh daya tahan pasaran buruh negara.
Menurut Perdana Menteri, pakej khas itu disediakan sebagai langkah awal menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan perubahan pesat teknologi yang memberi kesan kepada pasaran pekerjaan.
“Dalam era teknologi cepat berubah, kita perlu dapat membantu pekerja terus berdaya saing dan bagi yang bakal kehilangan pekerjaan untuk dilatih dengan kemahiran baharu seiring dengan permintaan dan keperluan industri terkini,” katanya.
PACE merangkumi empat komponen utama iaitu kesiapsiagaan perlindungan sosial menerusi dana Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) melebihi RM580 juta, pemerkasaan latihan dan penempatan kerja RM100 juta, pengupayaan pekerja gig RM20 juta serta geran padanan latihan industri bernilai RM10 juta.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Hari Pekerja sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R.Ramanan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.