
BUKIT JALIL, 1 Mei – Inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Pekerja 2026 hari ini disifatkan sebagai langkah tepat dalam memperkukuh kebajikan serta perlindungan golongan pekerja di negara ini.
- Peruntukan RM710 juta melalui PERKESO, HRD Corp dan TalentCorp disambut baik untuk meningkatkan sokongan menyeluruh kepada golongan pekerja.
- Dana akan dimanfaatkan bagi memperkukuh bantuan, perlindungan, pembangunan kemahiran dan sokongan kerjaya pekerja.
- Majikan digesa meneliti semula kebajikan pekerja termasuk gaji dan perlindungan sosial tanpa menjejaskan keuntungan syarikat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengumuman itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kebajikan, malah turut memperluas sokongan terhadap pembangunan kerjaya pekerja.
“Peruntukan RM710 juta yang diumumkan Perdana Menteri menerusi agensi seperti PERKESO, HRD Corp dan TalentCorp amat dialu-alukan kerana mampu meningkatkan sokongan menyeluruh kepada golongan pekerja,” katanya.
Katanya, dana itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuh bantuan serta perlindungan kepada pekerja, termasuk dalam aspek pembangunan kemahiran dan sokongan kerjaya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Pekerja 2026 di Bukit Jalil, hari ini.
Fahmi dalam masa sama berharap syarikat khususnya majikan besar dapat meneliti semula aspek kebajikan pekerja termasuk soal gaji dan perlindungan sosial.
“Terutama aspek gaji dan perlindungan buat para pekerja dapat ditingkatkan tanpa menjejaslan keuntungan syarikat, memandangkan hasil diperoleh juga datang daripada titik peluh pekerja sendiri,” katanya.