
BUKIT JALIL, 1 Mei – Radio Televisyen Malaysia (RTM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Media Terbaik (Agensi) pada Sambutan Hari Pekerja 2026 yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, hari ini.
- Anugerah disampaikan Perdana Menteri kepada Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail.
- Pengiktirafan menggambarkan komitmen serta usaha warga kerja dalam menyampaikan maklumat berkesan kepada rakyat.
- RTM bergerak sebagai satu pasukan bersama kementerian dan seluruh jentera kerajaan.
- Fokus utama adalah adaptasi teknologi termasuk AI serta penggubalan garis panduan untuk memelihara bakat tempatan dan karya diangkat.
Anugerah berkenaan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail.
Ashwad berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen serta usaha seluruh warga kerja RTM dalam memastikan penyampaian maklumat yang berkesan kepada rakyat.
“Anugerah ini sebagai refleksi atau cerminan cabaran yang kita akan hadapi setiap masa.
“Di bawah tunjuk ajar dan panduan Kementerian Komunikasi, KSU dan seluruh pasukan termasuk Menteri, RTM tidak berdiri sendiri, sebaliknya bergerak sebagai satu pasukan bersama kementerian serta seluruh jentera kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata antara fokus utama RTM selepas ini adalah untuk terus beradaptasi dengan perkembangan teknologi semasa termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi penyiaran.
“Kita melihat pelbagai aspek terutama bagaimana untuk beradaptasi dengan teknologi.
“Bagaimana kita menyesuaikan diri dengan AI serta melahirkan garis panduan bagi memastikan kesinambungan bakat tempatan terus terpelihara dan karya-karya sentiasa diangkat,” katanya.