Johor rencana atasi trafik sesak di Pulai

FOTO FB Farkhan Haron

ISKANDAR PUTERI, 1 Mei – Pelbagai langkah jangka pendek, sederhana dan panjang dikenal pasti bagi menangani isu kesesakan trafik di kawasan Pulai, dekat sini, demi melancarkan pergerakan harian penduduk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan kawalan trafik waktu 6 pagi hingga 10 malam dan naik taraf enam lampu isyarat pintar demi aliran trafik dan keselamatan.
  • Naik taraf lampu isyarat keluar ke Taman Sri Pulai kepada bulatan dan kerja pelebaran jalan di kawasan Pulai Jaya sebagai penyelesaian jangka sederhana.
  • Kajian bersama pemaju untuk laluan alternatif melalui Taman Teratai, Taman Sri Pulai, dari Pulai Jaya ke Pulai Duta hingga Nusa Bayu.
  • Kerajaan negeri komited melaksanakan perancangan menyeluruh bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselesaan penduduk setempat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaksanaan langkah berkenaan akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan aliran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya khususnya di laluan utama sekitar Jalan Pontian.

“Antara penyelesaian jangka pendek ialah pelaksanaan kawalan trafik bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam selain menaik taraf enam lampu isyarat pintar bagi memastikan aliran trafik lebih lancar dan selamat.

“Bagi penyelesaian jangka sederhana pula, lampu isyarat di jalan keluar ke Taman Sri Pulai akan dinaik taraf kepada bulatan, selain kerja pelebaran jalan di kawasan Pulai Jaya.

“Dalam masa sama, cadangan laluan alternatif melibatkan Taman Teratai dan Taman Sri Pulai, termasuk laluan dari Pulai Jaya ke Pulai Duta sehingga Nusa Bayu bersama pihak pemaju kini berada dalam kajian trafik,” katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri komited memastikan setiap perancangan dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengurangkan kesesakan sekali gus meningkatkan keselesaan penduduk setempat.