MotoGP Itali: Hakim Danish sambar petak kedua

Foto REUTERS

MUGELLO , 31 Mei – Pelumba muda negara, Hakim Danish mencuri tumpuan di Litar Mugello selepas mempamerkan tunggangan cemerlang untuk menyambar petak kedua dalam sesi kelayakan kategori Moto3 pada Grand Prix (GP) Itali, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raul Fernandez raih kemenangan sulung perlumbaan pecut, memintas awal dan mengekalkan kehadapan hingga garisan penamat.
  • Jorge Martin berakhir di tempat kedua, merapatkan jurang mata dengan pendahulu Bezzecchi kepada hanya 12 mata.
  • Manuel Gonzalez sahkan petak pertama Moto2 dengan rekod sepusingan litar baharu dalam sesi kelayakan.

Sementara itu dalam aksi kelas perdana MotoGP, pelumba pasukan Trackhouse, Raul Fernandez berjaya meraih kemenangan sulung dalam perlumbaan pecut selepas menyekat kebangkitan saat-saat akhir pelumba Aprilia, Jorge Martin.

Sesi kelayakan Moto3 menyaksikan David Almansa menetapkan masa terpantas untuk meraih petak pertama, manakala pelumba negara, Hakim Danish mengekori rapat di kedudukan kedua terbaik disusuli Joel Kelso yang melengkapkan kedudukan barisan hadapan.

Dalam pada itu, saingan kelas utama MotoGP menyaksikan Fernandez, yang memulakan perlumbaan Sprint dari petak kedua, mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk menebus kekecewaan lalu. Beliau memintas kedudukan pendahulu seawal pusingan pertama dan mengekalkan penguasaan sehingga garisan penamat.

Martin, yang cuba merapatkan jurang pada tiga pusingan terakhir, terpaksa akur di tempat kedua dengan perbezaan masa lebih satu saat di belakang Fernandez, sekali gus meredakan ketegangan kem kedua-dua pasukan susulan insiden pelanggaran sesama mereka pada GP Catalonia, awal bulan ini.

Pelumba VR46 Racing, Fabio Di Giannantonio melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga, manakala pendahulu kejuaraan dunia, Marco Bezzecchi sekadar berpuas hati di tempat keempat, mendahului pelumba Ducati, Marc Marquez yang menamatkan saingan di kedudukan kelima.

Kemenangan sulung itu membolehkan Fernandez melonjak ke tangga kelima carta keseluruhan kejuaraan dunia, manakala Martin berjaya merapatkan jurang mata dengan Bezzecchi kepada hanya 12 mata menjelang perlumbaan utama hari ini.

Bagi kategori Moto2 pula, pendahulu kejuaraan, Manuel Gonzalez mengesahkan petak pertama perlumbaan selepas melakar rekod sepusingan litar yang baharu dalam sesi kelayakan, mengatasi Filip Salac dan Alex Escrig yang masing-masing akan memulakan saingan di petak kedua dan ketiga. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.