
BUDAPEST, 31 Mei – Paris Saint-Germain (PSG) melakar sejarah muncul juara Liga Juara Eropah (UCL) buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Arsenal 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi akhir yang mendebarkan di Arena Puskas, disini pagi tadi (Sabtu).
- Arsenal mendahului awal melalui Kai Havertz selepas kesilapan pertahanan Marquinhos.
- Ousmane Dembele menyamakan pada minit ke-62 selepas penalti susulan kekasaran Cristhian Mosquera; keputusan terikat 1-1 selepas 120 minit.
- Penentuan penalti dramatik melihat Eberechi Eze dan Gabriel gagal; Luis Enrique menjadi antara lima pengurus dengan hatrik UCL.
Skuad bimbingan Luis Enrique itu bangkit daripada ketinggalan sebelum permainan diheret ke masa tambahan yang menyaksikan perlawanan terikat 1-1.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan PSG menjadi kelab kedua dalam era moden UCL yang berjaya mempertahankan trofi berprestij itu selepas Real Madrid.
Arsenal terlebih dahulu mengejutkan juara bertahan itu seawal minit keenam menerusi jaringan Kai Havertz, yang memanfaatkan kesilapan pertahanan PSG, Marquinhos ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Tersentak dengan gol awal tersebut, PSG menggandakan asakan bagi meroboh benteng kebal Gunners.
Kesempatan tiba apabila pertahanan Arsenal, Cristhian Mosquera melakukan kekasaran terhadap Khvicha Kvaratskhelia dalam kotak penalti pada separuh masa kedua.
Pemain sayap sensasi Ousmane Dembele tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62 untuk menyamakan kedudukan.
Kedudukan terikat 1-1 itu kekal sehingga tamat tempoh 120 minit permainan untuk memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti di hadapan ribuan penyokong kedua-dua pasukan.
Dalam drama penentuan itu, dua pemain Arsenal iaitu Eberechi Eze dan Gabriel Magalhaes gagal menyempurnakan sepakan dengan rembatan Gabriel melambung tinggi melepasi palang gol bagi mengesahkan kemenangan mutlak milik kelab gergasi Perancis itu.
Kejayaan tersebut amat bermakna buat Luis Enrique apabila beliau menjadi salah seorang daripada lima pengurus dalam sejarah bola sepak yang berjaya melakar hatrik kejuaraan UCL selepas memenanginya bersama Barcelona (2015) dan PSG (2025).
Bagi Arsenal pula, keputusan itu merupakan kekecewaan kali kedua di pentas akhir UCL selepas kali pertama mereka tumpas kepada Barcelona pada 2006 di Paris.- AFP