
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad untuk memperbaiki prestasinya pada Grand Prix (GP) Australia hujung minggu ini selepas terlepas peluang menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik di Indonesia, baru-baru ini.
- Pengalaman di Litar Mandalika menjadi pengajaran penting untuk memperkemaskan aksi menjelang perlumbaan di Phillip Island.
- Terpaksa memulakan perlumbaan di Indonesia dari petak terakhir selepas dikenakan penalti grid.
- Berjaya bangkit menghampiri kelompok 10 tetapi insiden pada penghujung perlumbaan menyebabkan beliau menamatkan di tempat ke-14.
- Menjalani latihan di Malaysia, meneliti semula kesilapan, dan kecederaan semakin pulih walau masih terasa sedikit kesakitan.
Dalam satu kenyataan, Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI berkata, pengalaman di Litar Mandalika menjadi pengajaran penting untuk memperkemaskan aksi menjelang perlumbaan di Litar Phillip Island.
Pelumba berusia 19 tahun itu terpaksa memulakan perlumbaan di Indonesia dari petak terakhir selepas dikenakan penalti grid.
Namun, beliau berjaya bangkit menghampiri kelompok 10 terbaik sebelum insiden pada penghujung perlumbaan menyaksikan beliau menamatkan saingan di tempat ke-14.
“Persiapan saya menjelang GP Australia berjalan dengan baik dan saya sangat teruja untuk berlumba di Phillip Island kerana litar ini masih baharu bagi saya,” katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan turut menjalani latihan di Malaysia serta meneliti semula kesilapan dalam dua perlumbaan terdahulu bagi memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.
Beliau juga memaklumkan kecederaan akibat kemalangan sebelum ini semakin pulih, meskipun masih mengalami sedikit kesakitan.
“Kecederaan akibat kemalangan sebelum ini juga semakin pulih. Walaupun masih ada sedikit rasa sakit, keadaan itu bukan penghalang untuk saya terus berjuang dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Ketika ini, Hakim Danish mengumpul 103 mata untuk menduduki tangga kesembilan keseluruhan kejuaraan Moto3.
Selepas GP Australia, beliau akan kembali beraksi di laman sendiri apabila GP Malaysia berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 30 Oktober hingga 1 November ini.