
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Persiapan atlet negara ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028) akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan prestasi dan penanda aras antarabangsa.
- KBS, MSN, PSK dan MOM fokus pembangunan atlet berperingkat, pengukuhan sokongan, pembiayaan serta pemantauan dan penilaian berasaskan prestasi.
- Program Podium diberi peruntukan RM70 juta pada 2026 melibatkan 415 atlet dari 20 sukan latihan sepenuh masa.
- Program Road to Gold menerima RM12 juta di bawah RMK13 untuk mengejar pingat emas Olimpik pertama di LA 2028; 15 atlet disenaraikan.
- Program Fast Track tumpu atlet bawah 25 tahun yang mampu ke kelompok 20 dunia dan pernah raih pingat peringkat Asia; kini empat peserta.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) bersama persatuan sukan kebangsaan (PSK) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), memberi tumpuan kepada pembangunan atlet secara berterusan serta pengukuhan ekosistem sokongan prestasi.
“KBS melalui MSN bersama PSK dan MOM memberi tumpuan kepada pembangunan atlet secara berperingkat dan berterusan, pengukuhan sokongan dan pembiayaan, pemantauan dan penilaian berasaskan prestasi, pengukuhan ekosistem sokongan prestasi serta penyelarasan bersepadu bersama PSK dan MOM.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan atlet yang berpotensi mendapat laluan pembangunan, latihan, pendedahan pertandingan dan sokongan yang bersesuaian bagi mencapai prestasi terbaik di LA 2028.”
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan mengenai perancangan strategik kementerian bersama PSK bagi memastikan persiapan atlet negara berada pada tahap terbaik menjelang LA 2028.
Tambahnya, tiga inisiatif utama digerakkan kementerian bagi tujuan itu, iaitu Program Podium, Program Road to Gold (RTG) dan Program Fast Track.
Program Podium menerima peruntukan RM70 juta pada 2026, membabitkan 415 atlet daripada 20 jenis sukan yang menjalani latihan sepenuh masa bagi menghadapi kejohanan antarabangsa dan temasya sukan utama, termasuk Olimpik.
Sementara itu, Program RTG menerima peruntukan RM12 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi merealisasikan sasaran Malaysia meraih pingat emas pertama Olimpik pada LA 2028.
Jelas beliau, seramai 15 atlet daripada sukan angkat berat, badminton, berbasikal trek dan skuasy kini disenaraikan dalam program berkenaan.
Beliau turut berkata Program Fast Track pula memberi tumpuan kepada atlet muda berusia 25 tahun ke bawah yang berpotensi menembusi kelompok 20 terbaik dunia serta pernah meraih pingat di peringkat Asia.
Setakat ini, empat atlet daripada sukan berbasikal trek dan memanah mengikuti program itu.