Beasley tinggalkan impak besar dalam pembangunan berbasikal trek negara

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Pemergian John Beasley ke Jepun selepas lebih dua dekad membangunkan skuad berbasikal trek kebangsaan merupakan kehilangan besar buat Malaysia, khususnya dalam usaha meneruskan legasi melahirkan pelumba bertaraf dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumbangan Beasley sukar dicari ganti, membentuk kejayaan beberapa generasi pelumba trek negara.
  • Melahirkan pelumba bertaraf dunia seperti Azizulhasni, Muhammad Rizal, Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati.
  • PKBM menghargai pengorbanan, komitmen dan dedikasi beliau serta mendoakan kejayaan masa hadapan.

Dalam satu kenyataan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menyifatkan sumbangan Pengarah Teknikal badan induk itu sukar dicari ganti, susulan peranannya membentuk kejayaan beberapa generasi pelumba negara di pentas antarabangsa.

Menurut beliau, legasi Beasley bukan sekadar diukur menerusi pencapaian skuad kebangsaan, malah kejayaan melahirkan nama besar seperti Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Rizal Tisin, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

“Sudah pasti yang paling terasa ialah kami di PKBM.

“John sudah bersama kami lebih dua dekad dan dalam tempoh itu, beliau melahirkan ramai pelumba bertaraf dunia,” katanya menerusi kenyataan PKBM, hari ini.

Amarjit berkata, sumbangan Beasley turut menjadi sebahagian daripada evolusi berbasikal trek negara menerusi pembangunan pelumba yang berjaya mencipta nama di peringkat dunia.

“Revolusi di peringkat dunia bermula dengan Rizal dan Azizulhasni. Kemudian, John melahirkan Shah Firdaus. Jangan lupa juga pengorbanan dan jasa beliau dalam membentuk Nurul Izzah Izzati.

“Beliau juga membimbing juara dunia apabila Azizulhasni meraih pencapaian itu pada 2017,” katanya.

Beasley dijadual menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 31 Oktober ini selepas mengemukakan surat peletakan jawatan pada 1 Ogos lalu dengan notis tiga bulan.

Kejohanan Trek Sedunia di Shanghai, China, yang berakhir pada 18 Oktober lalu merupakan tugasan terakhir beliau bersama skuad kebangsaan Malaysia.

Memulakan khidmat pada 1 Januari 2006, Beasley memainkan peranan penting dalam pembangunan pelumba termasuk Azizulhasni, Rizal, Josiah Ng, Fatehah Mustapa, Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati.

Amarjit turut merakamkan penghargaan atas pengorbanan, komitmen dan dedikasi Beasley sepanjang berkhidmat bersama negara, selain mendoakan kejayaan beliau dalam perjalanan kerjaya seterusnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.