Piala Dunia 2026: Ancelotti yakin Neymar sempat pulih

Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti/ REUTERS

TERESOPOLIS, 31 Mei – Pengendali skuad kebangsaan Brazil, Carlo Ancelotti memberi jaminan bahawa bintang penyerang, Neymar tetap mempunyai tempat dalam skuad Piala Dunia negara itu, meskipun pemain berkenaan masih menjalani rawatan akibat kecederaan betis hanya dua minggu sebelum aksi pembukaan kejohanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Neymar dilaporkan mengalami kecederaan betis gred dua, lebih serius berbanding dakwaan awal Santos mengenai bengkak.
  • Brazil dijadualkan menentang Panama di Stadium Maracana sebagai persediaan sebelum berlepas ke Amerika Utara.
  • Ancelotti akan menurunkan semua pemain sedia ada dalam perlawanan pemanas badan menentang Panama untuk menguji keserasian.
  • Beberapa pemain belum sertai kem: Gabriel Magalhaes, Gabriel Martinelli dan Marquinhos masih terikat dengan kelab masing-masing.

Pengendali dari Itali itu menyatakan keyakinannya bahawa Neymar akan cergas tepat pada masanya untuk mengetuai jentera serangan skuad Selecao menentang Maghribi pada 13 Jun ini.

Jaminan berkenaan sekali gus meredakan kebimbangan peminat bola sepak negara berkenaan.

“Saya percaya Neymar mampu pulih sepenuhnya sebelum perlawanan pertama kita nanti,” kata Ancelotti kepada media di pusat latihan Granja Comary di Teresopolis pada Sabtu.

Neymar sebelum ini melapor diri ke kem latihan kebangsaan dengan kecederaan betis gred dua, iaitu diagnosis yang lebih serius berbanding laporan awal kelabnya, Santos, yang mendakwa pemain itu hanya mengalami bengkak.

Sebagai persediaan terakhir, Brazil dijadualkan menentang Panama dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Maracana hari ini (Ahad), sebelum skuad itu berlepas ke benua Amerika Utara bagi menghadapi kempen Piala Dunia yang dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada.

Ancelotti mengesahkan beliau akan menurunkan kesemua pemain sedia ada dalam aksi pemanas badan menentang Panama bagi menguji keserasian pasukan.

Gergasi bola sepak Amerika Selatan itu dijangka membariskan kesebelasan utama terbaik menampilkan Alisson di gawang, Wesley, Bremer, Leo Pereira, dan Alex Sandro di benteng pertahanan, manakala Casemiro, Bruno Guimaraes, serta Matheus Cunha akan mengemudi jentera tengah.

Bahagian sayap dan serangan pula akan digerakkan oleh trio berbisa Raphinha, Vinicius Jr., dan Luiz Henrique.

Selain ketiadaan Neymar yang masih cedera, kem Brazil ketika ini juga belum menerima kehadiran Gabriel Magalhaes dan Gabriel Martinelli daripada kelab Arsenal, serta Marquinhos (Paris Saint-Germain) yang terlibat dalam aksi akhir Liga Juara Eropah (UCL). – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.