
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad sedia ada susulan pelaksanaan MyKad Struktur Baharu kerana kad pengenalan semasa masih sah digunakan bagi semua urusan rasmi, termasuk penebusan subsidi dan bantuan kerajaan.
- Pelaksanaan MyKad Struktur Baharu dilaksanakan berperingkat di Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan 18 pejabat terpilih melalui sistem janji temu.
- Keutamaan diberikan kepada pemohon berjanji temu serta pemegang KPP, KPT dan MyKad Versi 1; mereka diwajibkan menukar dalam tempoh tiga tahun.
- JPN akan menyediakan maklumat lanjut dan FAQ di portal rasmi; menegaskan komitmen meningkatkan sistem identiti dan melindungi keselamatan data peribadi.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan memaklumkan, pengeluaran dan gantian MyKad Struktur Baharu akan mula dilaksana selepas pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Pelaksanaan awal akan dibuat secara berfasa di Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan 18 pejabat JPN terpilih menerusi sistem janji temu sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
“Langkah itu bagi memastikan proses pengeluaran dan penggantian MyKad berjalan lancar, teratur serta mengelakkan kesesakan di kaunter JPN.
“Jabatan ini telah menetapkan keutamaan pelaksanaan pengeluaran MyKad Struktur Baharu hanya kepada pemohon yang telah membuat janji temu melalui Sistem Janji Temu JPN serta pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1 (Tanpa Ghost-Image).
“Pada masa sama, pemegang KPP, KPT dan MyKad Versi 1 diwajibkan menukar kepada MyKad Struktur Baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun,” menurut kenyataan tersebut.
JPN turut memaklumkan bahawa maklumat lanjut serta soalan lazim (FAQ) berkaitan pelaksanaan MyKad Struktur Baharu akan disediakan menerusi portal rasmi jabatan itu.
Selain itu JPN komited memastikan pelaksanaan MyKad Struktur Baharu memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuh sistem identiti nasional negara.
Jabatan itu juga memberi jaminan bahawa keselamatan data dan maklumat peribadi pemegang MyKad akan terus dilindungi menerusi ciri keselamatan serta kawalan perlindungan data yang ditetapkan kerajaan.