
GOMBAK, 29 Mei – Kerajaan Selangor hari ini berjaya menyelesaikan isu pemilikan tanah Program Buku Hijau yang tertangguh lebih 50 tahun; melibatkan 161 peserta di negeri itu.
- Usaha bermula pada 2023 untuk mengesahkan status pemilikan tanah yang telah diusahakan peserta sejak 1970-an.
- Sebelum ini peserta mengusahakan tanah tanpa hak milik atau kelulusan rasmi.
- Peserta diberikan Lesen Pemilikan Sementara, kemudian pajakan antara 21 hingga 30 tahun dan berpotensi diberi hak milik.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha itu dimulakan pada tahun 2023 bagi mengesahkan status pemilikan tanah yang telah diusahakan peserta sejak 1970-an.
Menurutnya, sebelum ini peserta mengusahakan tanah tanpa hak milik atau kelulusan rasmi.
“Kita telah bermula sejak tahun 2023 dalam mengusahakan perkara ini dan, alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun kita telah dapat menyelesaikan isu hak pemilikan untuk 161 pemilik yang telah dikenal pasti melalui proses yang panjang.
“Pada masa ini, mereka mendapat LPS (Lesen Pemilikan Sementara) dan selepas itu akan diberikan ruang untuk pajakan dalam tempoh yang lebih lama, iaitu antara 21 hingga 30 tahun. Jika terdapat ruangan yang dibenarkan, kita akan memberikan hak pemilikan kepada pemilik-pemilik tersebut.
“Alhamdulillah, saya diberikan peluang untuk menyelesaikan masalah mereka yang telah tertunggak puluhan tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan TOL Program Buku Hijau di sini.
Secara keseluruhan, penduduk mengusahakan tanah seluas antara satu hingga 1.3 hektar setiap seorang, melibatkan hampir 160 hektar kawasan pertanian.
Program Buku Hijau diperkenalkan pada tahun 1975 bagi menggalakkan pengeluaran makanan dan membantu rakyat menghasilkan bekalan makanan sendiri.