
KUALA LUMPUR, 29 Mei- Masyarakat antarabangsa tidak wajar terlalu bergantung kepada negara Barat dalam usaha mempertahankan prinsip demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia khususnya berhubung konflik berterusan di Gaza dan ketegangan di Asia Barat.
- Perkembangan Gaza dan selatan Lubnan tunjukkan cabaran kepada komuniti antarabangsa memastikan tindakan kemanusiaan konsisten dan adil.
- Malaysia menghubungi pemimpin negara Islam untuk menyampaikan pendirian serta menggalakkan usaha penyelarasan dan perpaduan.
- Malaysia kekal mempertahankan prinsip kebebasan dan keadilan sejagat bagi semua pihak tertindas tanpa mengira agama atau bangsa.
- Ketegangan Asia Barat memberi kesan kepada ekonomi global dan rantau ini; perlu ditangani berhemah bagi melindungi kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan di Gaza, selatan Lubnan dan beberapa wilayah bergolak lain memperlihatkan cabaran kepada komuniti antarabangsa dalam memastikan tindakan yang konsisten dan adil terhadap isu kemanusiaan.
“Saya melihat agak janggal bagaimana masyarakat antarabangsa masih bergantung kepada Eropah dan Amerika Syarikat untuk mempertahankan semangat demokrasi dan keadilan.
“Apa maruah dunia dan prinsip yang kita pegang. Sebab itu saya sering menyatakan bahawa ini menggambarkan satu bentuk kemunafikan dalam kalangan dunia Barat,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, hari ini.
Perdana Menteri berkata reaksi masyarakat dunia terhadap konflik di Asia Barat bukan berpunca daripada sentimen, sebaliknya lahir daripada keprihatinan terhadap penderitaan berpanjangan rakyat Palestin dan wilayah terjejas.
Beliau turut memaklumkan telah menghubungi beberapa pemimpin negara Islam termasuk Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan serta Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud bagi menyampaikan pendirian Malaysia dan menggalakkan usaha penyelarasan serta perpaduan dalam kalangan negara Islam.
Menurutnya, Malaysia akan terus konsisten mempertahankan prinsip kebebasan dan keadilan sejagat merangkumi semua pihak yang tertindas tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.
“Bagi Malaysia, kita kekal berpegang kepada prinsip kebebasan dan keadilan dalam menyuarakan hak, sama ada bagi umat Islam yang tertindas mahupun umat manusia secara keseluruhan.
“Suara kita akan terus tegas dan lantang kerana masih belum ada penyelesaian yang tuntas,” katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketegangan berterusan di Asia Barat turut memberi kesan kepada ekonomi global termasuk rantau Asia Tenggara, walaupun negara-negara di rantau ini mencatat prestasi ekonomi yang stabil.
Beliau menambah, ketidaktentuan ekonomi dunia akibat konflik geopolitik boleh memberi kesan kepada kestabilan dan kesejahteraan rakyat jika tidak ditangani secara berhemah dan berkesan.