PM perjelas isu semakan pemberian khas 40 peratus kepada Sabah esok

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Mei -Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penjelasan mengenai rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semakan hak pemberian khas 40 peratus kepada Sabah seperti termaktub dalam MA63 akan diperjelas.
  • Kerajaan Persekutuan komited membetulkan pendirian rasmi pentadbiran terdahulu dan melaksanakan semakan berkaitan pemberian khas.
  • GRS menegaskan semakan kadar bawah Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini walaupun masih dalam proses perundangan.

Beliau berkata, penjelasan itu termasuk semakan hak pemberian khas 40 peratus kepada Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Itu saya akan jelaskan esok di Sabah. Saya akan ke Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk memperbetul pendirian rasmi pentadbiran terdahulu, termasuk melaksanakan semakan berkaitan hak pemberian khas 40 peratus kepada Sabah.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata komitmen itu selaras dengan pendirian Perdana Menteri yang mengiktiraf hak Sabah terhadap pemberian khas berkenaan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun kes berkaitan hak 40 peratus itu masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, GRS tetap menegaskan supaya semakan terkini kadar Pemberian Khas bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan tahun ini.

Kerajaan Negeri yakin kerajaan Persekutuan akan bersetuju membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu bermula tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.