
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Skuad Taijiquan negara melakar kecemerlangan luar biasa di pentas antarabangsa selepas berjaya membawa pulang 24 pingat keseluruhan pada Kejohanan Dunia Taijiquan yang melabuhkan tirainya di Mlados, Bulgaria, Khamis lalu.
- Skuad Taijiquan meraih 3 emas, 9 perak dan 4 gangsa dalam kategori Kejuaraan, menunjukkan prestasi konsisten di pentas antarabangsa.
- Lee Cheng Yang, Wong Zi Hong dan Mandy Cebelle Chen muncul wira dengan pingat emas dalam acara taijiquan dan taijijian.
- Dalam Demonstrasi, Malaysia dominasi dengan 5 emas, 1 perak dan 1 gangsa; Marcos Bong Wei Zhe raih tiga emas hatrik.
Di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Loh Choon How, barisan atlet negara mempamerkan aksi konsisten dalam kategori Kejuaraan dengan kutipan tiga pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa.
Lee Cheng Yang muncul antara bintang tumpuan apabila menyumbang pingat emas dalam acara taijiquan pilihan lelaki dengan catatan mata 9.656.
Beliau yang memulakan kempen dengan pingat gangsa, turut menambah koleksi perak menerusi acara taijijian lelaki (9.333) selepas memberi saingan sengit kepada pencabar negara lain.
Kecemerlangan Malaysia diteruskan Wong Zi Hong yang menghadiahkan emas kedua negara dalam acara taijiquan gaya Yang lelaki dengan skor 9.370, sekali gus menewaskan pencabar utama dari China.
Melengkapkan senarai pemenang emas dalam kategori Kejuaraan ialah Mandy Cebelle Chen menerusi acara taijijian gaya Yang wanita dengan skor 9.313.
Selain emas, Mandy turut mempamerkan keupayaan serba boleh apabila meraih satu perak dalam taijiquan gaya Yang dan satu gangsa dalam taijijian pilihan.
Turut menyumbang kepada pungutan pingat negara ialah Serene Teo Xin Ling dan Kwan Yong Xin yang masing-masing meraih dua pingat perak.
Eason Yap Yee Zheng, Carmen Chaw Jia Ming dan Lim Kai Shen turut menyumbang perak, manakala gangsa tambahan hadir menerusi Cheng Yang, Zi Hong dan Eason.
Sementara itu, dalam kategori Demonstrasi, Malaysia terus mendominasi saingan apabila meraih lima emas, satu perak dan satu gangsa.
Marcos Bong Wei Zhe muncul wira kategori tersebut dengan kemenangan hatrik tiga pingat emas, manakala Rick Hooi Jone menyumbang dua lagi emas, Elson Chong Jia Bao melengkapkan hari gemilang skuad negara dengan satu perak dan satu gangsa.
Pencapaian memberangsangkan ini membuktikan Malaysia kekal sebagai antara kuasa besar yang digeruni dalam sukan taijiquan di peringkat antarabangsa.