Sawe cetus era baharu larian maraton

Sabastian Sawe dari Kenya melepasi garisan penamat dalam masa rekod dunia baharu pada Maraton London 2026 pada 26 April 2026. – AFP

NAIROBI, 1 Mei – Presiden Kenya, William Ruto, memuji pencapaian luar biasa pemegang rekod dunia maraton, Sebastian Sawe, yang disifatkan sebagai satu detik bersejarah dan “menjadikan yang mustahil itu satu realiti”.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden William Ruto memuji rekod dunia Sawe sebagai detik bersejarah yang memperluas had kemampuan manusia dan mengukuh dominasi Kenya.
  • Sawe bangkit dari peranan pacemaker menjadi pemegang rekod dunia selepas menonjol sejak kemenangan Separuh Maraton Seville 2022.
  • Perkembangan konsisten: debut maraton cemerlang, kemenangan London dan Berlin, membina momentum ke rekod dunia rasmi bawah dua jam.
  • Latihan intensif di altitud tinggi, larian sekitar 200 km seminggu dan pemakanan terurus menyokong pencapaian serta sasaran masa lebih pantas.

Menurutnya, kejayaan Sawe bukan sekadar memecahkan rekod dunia, malah telah memperluas batas keupayaan manusia.

“Sebastian, anda bukan sahaja memecahkan rekod. Anda telah mengembangkan horizon potensi manusia. Anda melakukan sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil,” katanya ketika menyambut ketibaan pemegang rekod dunia maraton itu di State House.

Beliau turut menegaskan kemenangan itu mengukuhkan lagi dominasi berterusan Kenya dalam acara larian maraton di peringkat dunia.

“Anda telah memberi inspirasi kepada negara, kepada generasi baharu, malah kepada seluruh dunia,” katanya.

Presiden Kenya William Ruto (kanan) mengucapkan tahniah kepada Sebastian Sawe atas pencapaian luar biasanya mencatat rekod dunia larian maraton. -AFP

Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Sawe yang bermula daripada peranan sebagai ‘pacemaker’ kini muncul sebagai antara nama utama dalam arena maraton dunia dan melonjak menjadi pemegang rekod dunia.

Atlet berkenaan mula mencuri perhatian pada tahun 2022 apabila menjuarai Separuh Maraton Seville meskipun bermula sebagai pacemaker.

Potensinya terus terserlah apabila mencatat masa 2 jam 2 minit 5 saat dalam penampilan sulung maraton di Valencia pada 2024 yang juga rekod kedua terpantas dalam sejarah debut maraton.

Momentum cemerlang itu diteruskan dengan kemenangan besar di London dan Berlin pada 2025, apabila beliau secara konsisten mencatat masa sekitar 2 jam 2 minit menentang barisan pelari elit dunia.

Kemuncak kejayaan Sawe hadir apabila beliau mencatat masa 1 jam 59 minit 30 saat pada 26 April lalu di Maraton London, sekali gus memecahkan rekod dunia di bawah 2 jam dalam perlumbaan rasmi menjadikannya atlet pertama mencapai pencapaian tersebut dalam pertandingan yang diiktiraf.

Mengulas kejayaannya, Sawe berkata pencapaian itu didedikasikan untuk negara dan rakyat Kenya.

“Saya melakukannya demi kita semua, untuk mengharumkan nama negara agar terus bersinar. Ini adalah kegembiraan buat kita bersama. Saya ucapkan terima kasih, dan kami akan terus berusaha meningkatkan bakat serta memastikan negara kekal di puncak,” katanya.

Kejayaan beliau turut didorong oleh latihan intensif di kawasan altitud tinggi di Kenya, dengan jarak larian mencecah kira-kira 200 kilometer setiap minggu, selain strategi pemakanan yang lebih baik.

Walaupun pernah berdepan kecederaan sebelum perlumbaan di London, Sawe yakin beliau masih mampu mencatat masa yang lebih pantas pada masa hadapan. – Viory