
VANCOUVER, 1 Mei – Suasana tegang tercetus pada penghujung Kongres FIFA ke-76 apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin, Jibril Rajoub, enggan menyertai sesi bergambar bersama wakil Israel.
- Jibril Rajoub menolak bergambar bersama wakil Israel walaupun dipujuk beberapa kali, menyatakan mereka sedang menderita.
- Palestin memfailkan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan terhadap keputusan FIFA yang tidak mengenakan tindakan ke atas Israel.
- PBB melaporkan lapan kelab bertanding di penempatan haram Israel dan menuntut FIFA mematuhi tanggungjawab hak asasi manusia.
- Rajoub menggesa FIFA melaksanakan peraturan secara adil dan menegakkan keadilan bagi atlet serta petugas Palestin.
Situasi itu berlaku selepas Rajoub dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Israel Basim Sheikh Suliman, selesai menyampaikan ucapan masing-masing kepada para perwakilan.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, kemudian menjemput kedua-duanya untuk tampil bersama bagi sesi bergambar rasmi.
Namun, Rajoub menolak pelawaan itu walaupun beberapa kali dipujuk.
Dalam insiden itu, Rajoub kedengaran menyatakan, “kami sedang menderita.”

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Palestin telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) susulan keputusan FIFA yang tidak mengenakan tindakan terhadap Israel berhubung jenayah perang terhadap Palestin.
Pada 2024, PBB melaporkan sekurang-kurangnya lapan kelab bola sepak dikenal pasti beraksi di “penempatan haram Israel” dan menggesa FIFA memenuhi tanggungjawabnya dalam menghormati hak asasi manusia.
Dalam sidang media, Rajoub menggesa FIFA agar melaksanakan peraturan secara adil dan rasional.

“Apa yang berlaku di Palestin amat dahsyat, kemudahan sukan dimusnahkan di Gaza, ratusan atlet dan petugas terkorban. Kini adalah masa untuk menegakkan keadilan,” katanya.
Beliau turut mengkritik wakil Israel yang menurutnya tidak memberi perhatian terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Saya enggan berjabat tangan. Bagaimana saya boleh berjabat tangan atau bergambar dengan individu seperti itu?” tegasnya. – AFP