
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Pelari pecut 400 meter (m) negara, Umar Osman menjadikan penyertaannya di Kejohanan Olahraga Terbuka Korea 2026 sebagai medan persiapan dan pendedahan pertandingan tanpa meletakkan sasaran.
- Anggap Kejohanan Olahraga Terbuka Korea 2026 sebagai medan persiapan dan pendedahan, tanpa meletakkan sasaran prestasi.
- Persediaan singkat dan jadual padat menyebabkan beliau fokus mendapatkan suasana pertandingan, bukan mengejar rekod.
- Sasaran jangka panjang ialah kejohanan lebih besar; tumpuan pada pemulihan, latihan, kekal sihat tanpa kecederaan, rancangan ke India dan Poland.
Menurut Umar, beliau hanya mampu melakukan persediaan singkat kerana tempoh kejohanan yang rapat dan berdepan jadual yang padat.
“Sebelum ini saya sudah mencapai prestasi di Taiwan dan juga Hong Kong. Jadi untuk kejohanan ini, jaraknya terlalu dekat. Saya rasa untuk kejohanan ini saya hanya berlari dan mahu mendapatkan suasana pertandingan,” katanya kepada pemberita RTM di Pejabat Majlis Sukan Negara di sini, hari ini sebelum berlepas ke Korea Selatan.
Pada masa sama, beliau turut menyasarkan kejohanan lebih besar pada masa akan datang, serta memastikan fizikalnya berada dalam keadaan terbaik tanpa sebarang kecederaan, selain memberi tumpuan kepada proses pemulihan dan latihan sebaik kembali ke Malaysia nanti.
“Buat masa sekarang mungkin kita merancang untuk bertanding di India dan juga Poland,” katanya.
Kejohanan Olahraga Terbuka Korea 2026 bakal berlangsung di Yecheon pada 20 dan 21 Jun ini.