Rafiq buru kejuaraan hatrik menerusi Terbuka Antarabangsa KL

Rafiq akui tumpuan utamanya ketika ini adalah mengekalkan prestasi terbaik bagi memastikan dirinya layak ke peringkat akhir Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur 2026./ RTM

PETALING JAYA, 17 Jun – Kejayaan jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail, merangkul dua kejuaraan berturut-turut di Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura baru-baru ini membakar semangatnya untuk menggapai kejuaraan seterusnya, kali ini di Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rafiq perlu pulihkan rentak selepas rehat empat hari untuk kekal momentum dan layak ke pusingan penentuan.
  • Perbezaan corak serapan minyak lorong dan suhu lebih sejuk menuntut pelarasan segera serta fokus 100 peratus daripada pemain.
  • Kehadiran pemain antarabangsa memberi pendedahan berkualiti sebagai persediaan menjelang Kejohanan Asia di Doha, dan peluang pengalaman untuk pemain muda.

Pemain berusia 29 tahun itu, yang juga juara Terbuka Singapura empat kali berturut-turut, mengakui tumpuan utamanya ketika ini adalah mengekalkan prestasi terbaik bagi memastikan dirinya layak ke peringkat akhir dalam kejohanan tempatan itu.

Menurut Rafiq, dia kini perlu segera mengembalikan rentak permainan selepas berehat pendek sejurus tamat saingan di seberang Tambak Johor minggu lalu.

Beliau menyedari baki masa yang ada semakin suntuk untuk melayakkan diri ke pusingan penentuan, sekali gus menuntut persediaan fizikal dan mental yang optimum.

“Memandangkan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi untuk melayakkan diri ke peringkat akhir, saya perlu mengekalkan momentum sedia ada. Sesi hari ini merupakan aksi pertama saya selepas berehat selama empat hari sekembalinya dari Singapura. Saya berharap selepas ini saya dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat untuk baki saingan,” katanya ketika ditemui media pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, di sini.

Mengulas mengenai cabaran kejohanan tersebut, Rafiq menjelaskan bahawa setiap kejohanan mempunyai dinamik dan persekitaran yang berbeza, di mana corak serapan minyak pada lorong (oil pattern) serta suhu persekitaran menjadi faktor penentu yang menuntut pelarasan segera daripada setiap pemain.

Beliau menyedari cabaran di Kuala Lumpur tidak boleh disamakan dengan kejohanan yang dimenanginya sebelum ini dan memerlukan fokus sepenuhnya.

“Cabaran di sini sememangnya berbeza kerana setiap kejohanan mempunyai dinamik tersendiri. Oleh itu, saya perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan lorong di sini.

“Tambahan pula, faktor persekitaran seperti suhu yang lebih sejuk serta corak serapan minyak (oiling pattern) yang berlainan berbanding di Singapura menuntut fokus 100 peratus daripada saya,” tambahnya.

Sementara itu, kehadiran barisan pemain handalan dunia pada kejohanan edisi kali ini dilihat mampu menjadi medan persediaan terbaik buat skuad boling kebangsaan sebelum melangkah ke pentas antarabangsa yang lebih besar, terutamanya Kejohanan Asia di Doha, Qatar, pada November.

Pendedahan berkualiti menentang pemain dari luar negara ini amat penting dalam mengukur tahap sedia ada atlet negara.

Pandangan sama turut dikongsi oleh pemain muda negara, Lavinia Kho Jia Jie, yang menyifatkan peluang bersaing dengan atlet antarabangsa dari Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Arab Saudi, dan New Zealand sebagai platform terbaik untuk memperkemas corak permainannya.

Lavinia yang baru sahaja merangkul gelaran sulung kategori wanita di Terbuka Singapura 2026 minggu lalu tekun memburu slot ke peringkat akhir demi menimba pengalaman berharga.

“Secara jujur, saya cuma nak cuba dapatkan mata setinggi mungkin. Ramai pemain antarabangsa yang datang kali ini, jadi saya harap dapat masuk ke final untuk main sekali dengan mereka.

“Bagi saya, dapat bermain dengan mereka ini satu peluang yang sangat berguna untuk saya belajar dan kutip pengalaman,” kata Lavinia yang ditemui media usai menamatkan sesi saringan hari ini.

Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung dari 13 hingga 21 Jun ini menyaksikan peningkatan nilai komersial apabila menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM355,820, iaitu peningkatan sebanyak RM50,000 berbanding tahun lalu.

Juara bagi kategori Terbuka Campuran bakal membawa pulang wang tunai RM30,000, manakala naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing akan menerima RM15,000 dan RM10,000.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.