
VANCOUVER, 1 Mei- Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan tiada perubahan venue bagi penyertaan Iran dalam Piala Dunia 2026, dengan negara itu kekal beraksi di Amerika Syarikat seperti dijadualkan.
- Infantino menegaskan penyertaan Iran dalam Piala Dunia 2026 tidak berubah meskipun terdapat perkembangan geopolitik.
- Cadangan memindahkan perlawanan Iran ditolak oleh FIFA.
- Iran dilaporkan tidak menghadiri kongres FIFA di Vancouver kerana isu imigresen Kanada.
- Pihak berkuasa Kanada tidak membenarkan individu yang mempunyai kaitan dengan IRGC memasuki negara itu.
Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata penyertaan Iran dalam kejohanan yang dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico kekal tidak berubah, meskipun terdapat perkembangan geopolitik melibatkan negara berkenaan.
“Saya mulakan sidang dengan mengesahkan bahawa Iran akan menyertai Piala Dunia FIFA 2026. Dan sudah tentu, Iran akan bermain di Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap pada pembukaan sidang FIFA di Vancouver pada Khamis.
Beliau sebelum ini beberapa kali menegaskan pendirian sama walaupun terdapat cadangan supaya perlawanan Iran dipindahkan ke lokasi lain susulan ketegangan di Asia Barat.
Cadangan tersebut bagaimanapun tidak diterima FIFA.
Iran dijadual berpangkalan di Tucson, Arizona sepanjang kejohanan dan berada dalam Kumpulan G bersama New Zealand, Belgium dan Mesir.
Mereka akan memulakan kempen menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun. -AFP