Piala Uber: Perjalanan masih jauh bagi skuad negara – Jonassen

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen/Foto Bernama

HORSENS, 30 April – Tiada usaha menyembunyikan rasa kecewa susulan tersingkir di peringkat suku akhir, namun bagi Malaysia, mesej lebih besar daripada saingan Piala Uber 2026 di sini ialah perjalanan pasukan negara masih jauh daripada pengakhiran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekalahan 0-3 kepada juara China dipandang sebagai sebahagian proses jangka panjang untuk membangunkan skuad muda.
  • Letshanaa menunjukkan peningkatan konsisten dan memberi tentangan sengit kepada pemain ranking tinggi dunia.
  • Beregu debut Ong Xin Yee dan Carmen Ting tampil berani namun tewas dalam pertarungan tiga set panjang.
  • Jonassen tekankan kepentingan semangat berpasukan, peranan M. Thinaah serta kerja keras dan pembetulan mentaliti.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen, menegaskan kekalahan 0-3 kepada juara bertahan China di Forum Horsens hari ini bukan satu kemunduran, sebaliknya sebahagian daripada proses jangka panjang membabitkan skuad muda yang sedang berkembang.

Menurutnya, meskipun Malaysia berjaya memberi tekanan pada peringkat awal perlawanan, pengalaman dan tahap permainan tinggi China akhirnya menjadi penentu.

“Sudah tentu kami tahu China akan menjadi cabaran besar. Namun saya merasakan khususnya dalam dua perlawanan pertama, kami mampu menggugat mereka sedikit.

“Kami benar-benar memberi saingan yang baik, tetapi tahap permainan dan pengalaman mereka akhirnya membezakan kedua-dua pasukan,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.

Malaysia memulakan saingan suku akhir dengan langkah sukar apabila pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa yang menghuni ranking ke-33 dunia memberi tentangan sengit sebelum tewas 17-21, 18-21 kepada pemain nombor dua dunia Wang Zhi Yi dalam tempoh 47 minit.

Harapan untuk menyamakan kedudukan hampir tercapai menerusi beregu debut Ong Xin Yee-Carmen Ting yang mempamerkan aksi berani menentang pasangan nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning sebelum tewas 14-21, 21-16, 13-21 dalam pertarungan 79 minit.

China mengesahkan slot separuh akhir menerusi perlawanan ketiga apabila pemain perseorangan kedua mereka Chen Yu Fei yang juga ranking keempat dunia menewaskan Wong Ling Ching 21-10, 21-10 dalam tempoh 36 minit.

Walaupun tersingkir, Jonassen melihat perkembangan positif terutama daripada Letshanaa yang menunjukkan peningkatan konsisten sepanjang kejohanan.

“Saya nampak banyak peluang, saya nampak kematangan bukan sahaja hari ini tetapi sepanjang kejohanan ini… dan saya gembira melihatnya sekali lagi hari ini,” katanya.

Sebelum itu, Letshanaa turut memberikan cabaran sengit kepada pemain nombor tiga dunia Akane Yamaguchi apabila tewas 19-21, 17-21 dalam aksi terakhir Kumpulan B menentang Jepun.

Dalam pada itu, Jonassen turut menekankan kepentingan semangat berpasukan serta memuji peranan ketua pasukan merangkap pemain beregu wanita nombor satu negara M. Thinaah, dalam membimbing skuad muda sepanjang kempen yang berlangsung hingga 3 Mei.

Walaupun kejayaan mara ke suku akhir selepas 16 tahun dianggap pencapaian penting, jurulatih dari Denmark itu menegaskan Malaysia tidak wajar berpuas hati setakat itu sahaja.

“Saya percaya semua pasukan akan merasakan mereka boleh melangkah lebih jauh, tetapi saya tidak nampak sebab kenapa kita tidak boleh berfikir untuk terus memperbaiki diri.

“Seperti yang saya katakan, ia memerlukan kerja keras, komitmen dan kesediaan untuk memperbaiki mentaliti sendiri,” katanya.

Ini merupakan penampilan suku akhir keempat Malaysia dalam sejarah kejohanan selepas edisi 2004, 2008 dan 2010.-BERNAMA