Ekonomi negara alami ‘gangguan’ bukan krisis, Malaysia mampu bangkit – Tan Sri Dr. Zeti

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Mei– Gangguan ekonomi susulan konflik bekalan tenaga global perlu ditangani segera dan tersusun bagi mengelakkan negara terjerumus dalam kancah krisis lebih parah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Situasi ekonomi dipandang sebagai gangguan, bukan krisis; tadbir urus baik membantu negara mengatasi cabaran.
  • Malaysia perlu merancang proaktif dan menyediakan tindakan berdasarkan pelbagai senario konflik.
  • Kerjasama erat kerajaan, sektor swasta dan pengguna penting untuk ketahanan ekonomi.
  • Perubahan tingkah laku pengguna dan strategi perniagaan dinamik perlu; MTEN dan sekretariat mantap menyelaras tindak balas.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata situasi ekonomi negara ketika ini lebih tepat disifatkan sebagai ‘gangguan’ dan bukannya krisis, sambil menegaskan tadbir urus yang baik mampu membantu negara keluar daripada cabaran tersebut.

Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia dalam mengharungi ketidaktentuan semasa menerusi perancangan yang lebih proaktif.

“Jadi, negara perlu beroperasi dengan mengambil kira pelbagai potensi yang mungkin berlaku. Sama ada perang berakhir lebih awal atau terus berlarutan, berdasarkan senario ini, kita perlu kita perlu membuat persediaan mengenai tindakan yang akan diambil.

“Malaysia berpotensi untuk bertindak balas dengan cara terbaik untuk mengatasi masalah yang dihadapi.” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Forum Perniagaan FLUX 2026, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang mencabar susulan konflik geopolitik di Asia Barat.

Dalam pada itu, Tan Sri Dr. Zeti percaya cabaran semasa mampu ditangani dengan berkesan menerusi kerjasama erat antara pihak kerajaan, sektor swasta dan golongan pengguna.

Tambah beliau, perubahan tingkah laku pengguna serta penyesuaian strategi perniagaan yang dinamik amat kritikal bagi memastikan ekonomi domestik terus berdaya tahan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar setiap tindak balas diselaraskan dengan baik, selain mencadangkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersama sekretariat yang mantap memainkan peranan aktif untuk mengkaji setiap perkembangan yang sedang berlaku.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.