SuRIA Home tawar rebat solar sehingga RM3,000 kepada pengguna domestik

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) pada Majlis Pelancaran Inisiatif SuRIA Home dan Perhimpunan Bulanan (PETRA)/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Mei – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melancarkan insentif program ‘Sustainable Rebate and Incentive Assistance (SuRIA)’ dengan menawarkan rebat solar kepada pengguna domestik bagi membantu rakyat dalam menghadapi krisis bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rebat RM600 setiap 1 kWac, maksimum RM3,000 bagi kapasiti sehingga 5 kWac.
  • Menjangka manfaat kepada 45,000 hingga 50,000 rumah dengan kapasiti solar terkumpul sekitar 250 megawatt.
  • Peruntukan RM120 juta tersedia Jun hingga Disember; penerima sedia ada ATAP perlu daftar untuk layak.
  • Pemasangan bawah Solar ATAP dibuka sehingga 31 Disember 2026 atau kuota 250 MW dipenuhi; rebat bermula 1 Jun 2026 atas dasar siapa cepat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengguna yang memasang sistem Program Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan (Solar ATAP) yang memenuhi kriteria kelayakan boleh menerima rebat bermula RM600 bagi setiap 1 kWac hingga maksimum RM3,000 bersamaan 5 kWac.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, program itu dijangka memberi manfaat kepada antara 45,000 hingga 50,000 rumah dengan kapasiti solar terkumpul sekitar 250 megawatt (MW), sekali gus memperluas penggunaan solar bumbung kediaman di seluruh negara.

“Program Suria Home dilancarkan sebagai insentif kepada rakyat yang ingin memasang sistem solar menerusi program solar ATAP yang diperkenalkan kerajaan. Kita memutuskan untuk memberi insentif peruntukan dengan nilai RM120 juta bermula Jun hingga Disember tahun ini.

“Jadi siapa yang sudah memasang di bawah program ATAP juga akan layak, tapi perlu berdaftar dengan proses yang kita akan tetapkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan PETRA dan pelancaran SuRIA Home hari ini.

Datuk Seri Fadillah berkata, program SuRIA Home akan dibuka kepada pemasangan solar di bawah program Solar ATAP yang mula beroperasi bagi tempoh sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga kuota 250 MW dipenuhi, yang mana terdahulu.

Katanya, pelaksanaan rebat pula akan bermula pada 1 Jun 2026 berdasarkan prinsip ‘siapa cepat dia dapat’.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.