
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merampas kira-kira 43,000 liter cecair disyaki minyak diesel bersubsidi dalam satu operasi khas di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Rabu.
- Operasi hasil kerjasama KPDN Putrajaya dan PDRM Cawangan Khas Buk Aman; rampasan peralatan dan kenderaan dianggarkan bernilai RM247,198.
- Sindiket membeli diesel bersubsidi menggunakan fleet card pihak lain, memindahkan ke tangki IBC dan menyimpan sebelum dijual kepada sektor industri.
- Serbuan menemui tiga tangki simpanan termasuk satu mengandungi kira-kira 35,000 liter, serta lori IBC mengandungi 2,000 dan 6,000 liter.
- Dirampas dua lori, tangki IBC, hos paip, pelbagai fleet card dan telefon bimbit; tiga lelaki ditahan, siasatan di bawah Seksyen 21(1).
Serbuan hasil kerjasama KPDN Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Bukit Aman itu turut melibatkan sitaan pelbagai peralatan serta kenderaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM247,198.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, sindiket terbabit dipercayai membeli diesel bersubsidi menggunakan fleet card milik pihak lain di stesen minyak sebelum dipindahkan ke tangki Intermediate Bulk Container (IBC).
Menurut beliau, minyak diesel tersebut kemudiannya dibawa ke sebuah premis stor penyimpanan sebelum dijual kepada sektor industri.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen berkaitan penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam operasi kira-kira pukul 2 petang itu, pasukan serbuan turut menemukan tiga tangki simpanan yang disambungkan dengan saluran paip termasuk satu tangki mengandungi kira-kira 35,000 liter cecair disyaki minyak diesel.
Turut dikesan sebuah lori bersama tangki IBC mengandungi kira-kira 2,000 liter minyak diesel yang sedang dipindahkan ke tangki simpanan.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan sebuah lagi lori membawa tangki IBC mengandungi kira-kira 6,000 liter cecair disyaki minyak diesel.
Turut dirampas dua lori, tangki IBC, hos paip, fleet card pelbagai jenama serta beberapa telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
Tiga lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.