Uganda percepat pembangunan vaksin Ebola Bundibugyo

Institut Penyelidikan Virus Uganda (UVRI) / foto Reuters

KAMPALA, 14 Jun – Saintis Uganda sedang mempercepatkan usaha penyelidikan dan pembangunan vaksin bagi mengekang penularan wabak Ebola varian Bundibugyo.

RINGKASAN BERITA AI
  • Varian Bundibugyo dilaporkan merebak di Uganda dan negara jirannya, Republik Demokratik Congo.
  • UVRI bekerjasama dengan WHO, organisasi antarabangsa dan syarikat farmaseutikal untuk membangunkan vaksin berkesan.
  • Bundibugyo antara tiga spesies ebolavirus berpotensi wabak besar dan tiada vaksin atau rawatan khusus diluluskan.
  • WHO desak percepatkan penyelidikan vaksin, antibodi monoklonal dan antivirus; IAVI mungkin keluarkan vaksin dalam kira-kira tujuh bulan.

Wabak varian itu kini dilaporkan telah merebak di seluruh negara itu dan negara jiran, Republik Demokratik Congo (DRC).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyelidik di Institut Penyelidikan Virus Uganda (UVRI) bekerjasama dengan organisasi kesihatan antarabangsa dan syarikat farmaseutikal untuk membangunkan vaksin berkesan terhadap virus tersebut.

WHO memaklumkan Virus Bundibugyo merupakan antara tiga spesies ebolavirus yang boleh menyebabkan wabak besar, namun setakat ini masih belum mempunyai vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan.

Pengarah UVRI, Prof. Dr. Pontiano Kaleebu, berkata para penyelidik sedang mengkaji sama ada vaksin Ebola sedia ada mampu memberikan perlindungan terhadap varian Bundibugyo, selain menilai keberkesanan ubat eksperimen yang digunakan bagi merawat strain Ebola lain.

“Kajian turut meneliti sama ada antibodi daripada pesakit yang pernah dijangkiti Ebola boleh digunakan untuk melawan strain berbeza, termasuk Bundibugyo.

“Pendekatan serupa pernah digunakan semasa wabak Ebola di Afrika Barat antara 2014 hingga 2016 dan menunjukkan hasil yang memberangsangkan,” katanya.

Saintis Uganda sedang menjalankan uji kaji vaksin Ebola varian Bundibugyo di Institut Penyelidikan Virus Uganda (UVRI) / foto Reuters.

Sementara itu, WHO memaklumkan bahawa ujian klinikal vaksin yang dibangunkan oleh International AIDS Vaccine Initiative (IAVI) berpotensi menghasilkan vaksin yang boleh digunakan dalam tempoh sekitar tujuh bulan.

Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, turut menekankan keperluan mempercepatkan penyelidikan berkaitan vaksin, antibodi monoklonal dan rawatan antivirus bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi wabak pada masa hadapan.

Menurut WHO dan pihak berkuasa kesihatan Uganda serta DRC, kebanyakan daripada 19 kes Ebola yang disahkan di Uganda dipercayai berpunca daripada jangkitan yang dibawa masuk dari DRC.

DRC mengisytiharkan wabak terbaharu Ebola pada pertengahan Mei lalu, dengan jumlah kes disahkan meningkat kepada 689 dan 139 kematian direkodkan setakat Jumaat. – Reuters

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.