Kos sara hidup meningkat, rakyat AS desak perang dengan Iran ditamatkan

Foto REUTERS

WASHINGTON, 14 Jun – Tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat akibat perang Amerika Syarikat (AS)-Iran mencetuskan kekecewaan dalam kalangan rakyat AS, dengan ramai menuntut kerajaan segera menamatkan konflik itu dan memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi domestik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan harga petrol membebankan penduduk Massachusetts, terutamanya mereka yang berulang-alik jauh setiap hari.
  • Peningkatan bil utiliti dan kos barangan runcit menambah tekanan kepada keluarga yang sudah bergelut.
  • Harga tenaga, khususnya gas asli untuk pemanasan rumah, dilaporkan meningkat dengan ketara.
  • Harga petrol mencapai AS$4 hingga AS$5 segelen dan kenaikan harga makanan menyukarkan kehidupan harian.

Di Massachusetts, beberapa penduduk berkata kenaikan harga petrol menjadi antara beban paling ketara, terutama bagi mereka yang perlu berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

“Saya memandu kira-kira 30 kilometer ke tempat kerja setiap hari. Mujur saya menggunakan Prius, tetapi harga minyak sudah naik dengan ketara. Kenaikan harga ini sangat membebankan kewangan,” kata seorang penduduk.

Selain bahan api, pengguna turut berdepan peningkatan bil utiliti dan barangan runcit, sekali gus menambah tekanan kepada keluarga yang sudah pun bergelut dengan kos sara hidup.

“Paling ketara ialah harga tenaga, termasuk gas asli yang kami gunakan untuk memanaskan rumah,” kata seorang lagi penduduk Massachusetts.

Seorang penduduk lain berkata harga petrol yang mencecah AS$4 hingga AS$5 segelen dan kenaikan harga makanan menyebabkan kehidupan harian semakin sukar.

“Bagaimana orang hendak terus hidup dengan keadaan ini? Ia tidak masuk akal. Harga makanan juga jauh lebih mahal berbanding beberapa bulan lalu,” katanya.

Perang AS-Iran tercetus pada 28 Feb apabila AS dengan sekutunya Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran dengan menyasarkan Tehran, Isfahan dan Karaj.

Serangan tersebut telah mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa pegawai kanan negara itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.