
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menafikan dakwaan yang terkandung dalam beberapa video tular yang disifatkan sebagai “serius, palsu dan berunsur fitnah” terhadap beliau serta keluarganya.
- Buat laporan polis dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk siasatan menyeluruh terhadap individu serta akaun yang terlibat.
- Menuntut pengendali platform media sosial membuang, menyekat dan menghalang penyebaran selanjutnya bahan palsu serta berunsur fitnah.
- Mengekalkan semua hak undang-undang, termasuk memulakan prosiding sivil dan jenayah terhadap penerbit atau penyebar dakwaan palsu.
- Menafikan penglibatan dalam pembelian atau pemilikan hartanah mewah, penggunaan syarikat cengkerang atau struktur kewangan luar pesisir.
Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib itu berkata beliau menafikan sekeras-kerasnya setiap dakwaan dalam video yang sedang tular di platform media sosial termasuk X (dahulunya Twitter) dan Facebook.
Rosmah turut mengesahkan telah membuat satu laporan polis hari ini susulan keseriusan dakwaan itu, dan memaklumkan bahawa beliau memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta kekal komited untuk terus berbuat demikian.
Beliau berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan lengkap terhadap individu, pihak berkaitan serta akaun yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan bahan palsu, berniat jahat serta berunsur fitnah tersebut.
“Saya juga menuntut agar pengendali semua platform media sosial yang berkaitan mengambil tindakan segera dan tegas untuk membuang, menyekat selain menghalang sebarang penyebaran lanjut bahan-bahan palsu serta berunsur fitnah ini.”
“Saya dengan ini mengekalkan semua hak yang tersedia kepada saya di sisi undang-undang, termasuk hak untuk memulakan prosiding sivil dan menuntut prosiding jenayah terhadap mana-mana individu atau pihak yang telah menerbitkan, menerbitkan semula, berkongsi atau terus menyebarkan dakwaan palsu serta memudaratkan ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Rosmah turut menyeru orang ramai dan pihak media supaya bertindak dengan bertanggungjawab dan berhemah, tidak membesar-besarkan kandungan yang tidak disahkan, palsu serta berunsur memfitnah selain membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka tanpa gangguan atau pengaruh selaras dengan proses undang-undang.
Beliau menafikan pernah terlibat, pada bila-bila masa sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam pembelian, pembiayaan, pemindahan atau pemilikan mana-mana hartanah mewah termasuk yang didakwa bernilai USD13 juta serta tidak pernah membiayai, memudah cara atau dengan cara apa sekalipun mengatur sebarang transaksi sedemikian bagi pihak menantu lelaki atau mana-mana individu atau entiti lain.
“Tuduhan yang mendakwa saya terlibat dalam penggunaan syarikat cengkerang, struktur kewangan luar pesisir atau mempunyai kaitan dengan mana-mana individu atau entiti yang dinamakan dalam video terbabit adalah tidak berasas sama sekali, benar-benar palsu dan direka dengan niat jahat,” katanya.
Rosmah juga berkata penerbitan dan penyebaran dakwaan itu adalah perbuatan fitnah dan kenyataan palsu yang berniat jahat.
Beliau menyifatkan kandungannya sebagai mengelirukan, amat tidak bertanggungjawab dan jelas direka untuk menipu orang ramai, merendahkan keyakinan terhadap proses undang-undang yang sah serta menyebabkan reputasinya dan keluarga terjejas teruk.
“Kenyataan ini dikeluarkan tanpa menjejaskan semua hak dan remedi saya di sisi undang-undang,” katanya.- BERNAMA