
RANTAU PANJANG, 14 Jun – Hampir 2,600 unit pod vape atau rokok elektronik bernilai RM256,000 dirampas dalam pemeriksaan sebuah van di Sekatan Jalan Raya (SJR) Lalang Pepuyu tengah hari semalam.
- Seorang lelaki 42 tahun ditahan selepas memandu van dalam keadaan mencurigakan dalam operasi Taring Wawasan di SJR Lalang Pepuyu.
- Pod vape dipercayai dibekalkan sekitar Tanah Merah dan cuba diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram di Kampung Rahmat.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; rampasan diserahkan kepada KPDN Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Dalam ops Taring Wawasan itu, seorang lelaki berusia 42 tahun turut ditahan selepas didapati memandu sebuah van putih dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek memperoleh bekalan pod vape itu di sekitar Tanah Merah sebelum dipercayai cuba menghantarnya ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kampung Rahmat.
“Hasil pemeriksaan ke atas van tersebut menemukan beberapa kotak mengandungi 2,560 unit pod vape pelbagai perisa yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand.
“Pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan barangan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rampasan membabitkan pod vape pelbagai perisa termasuk All Berry, Pink Berry, Watermelon Mint, Cola, Blue Ice, Matcha Latte, Kyoho Grape dan Watermelon.
Katanya, nilai keseluruhan pod vape yang dirampas dianggarkan RM256,000 manakala van yang digunakan untuk membawa barangan tersebut bernilai RM60,000, menjadikan jumlah rampasan keseluruhan RM316,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.